EDOTCO Malaysia Sdn Bhd (edotco) mengumumkan pelancaran inisiatif Covid Care, program sumber manusia yang menyediakan peluang pekerjaan kepada individu yang kehilangan punca pendapatan serta graduan yang sukar mendapat pekerjaan akibat penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Serantau Kumpulan edotco dan Pengarah Urusan edotco Malaysia, Wan Zainal Adileen berkata, program itu memberi peluang khusus kepada kedua-dua kumpulan berkenaan terutamanya kepada golongan B40.

“Program itu bertujuan membantu memulihkan sosio-ekonomi negara dengan menawarkan satu tahun kontrak pekerjaan.

“Calon akan dipadankan dengan bidang pekerjaan, bersesuaian dengan kelayakan dan pengalaman mereka. Calon juga berpeluang untuk ditawarkan jawatan tetap di edotco Malaysia, bergantung kepada prestasi mereka dan juga ketersediaan jawatan yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, edotco menghargai petugas kesihatan menjalankan tugas tanpa henti memerangi Covid-19 dan disebabkan pengorbanan mereka itu, edotco juga mahu bersatu-padu membantu individu yang terkesan dengan impak wabak pandemik ini.

“Wabak ini menaikkan semangat komuniti kami bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan sukar mendapatkan pekerjaan akibat Covid-19.

“edotco Malaysia bertuah menjadi salah satu perkhidmatan penting yang memastikan ketersambungan telekomunikasi dalam keadaan baik secara tidak langsung memudahkan tindak balas ketika krisis Covid-19.

“Kami bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih untuk membolehkan sebahagian besar rakyat Malaysia bekerja di rumah dan memudahkan mereka berhubung serta mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Menurutnya, melalui program ini, edotco Malaysia turut membantu pekerjanya yang terkesan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dengan menyediakan barang keperluan dan faedah elaun.

“Program ini juga meliputi pelbagai bentuk bantuan antaranya pemasangan edotco Mobile Solution (eMOS) di sekitar pusat kuarantin Hospital Sungai Buloh bagi merapatkan jurang hubungan telekomunikasi di sekitar hospital.

“Selain itu, pejabat-pejabat serantau edotco juga membantu komuniti tempatan membekalkan keperluan asas seperti makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“edotco juga menyumbangkan peralatan perubatan dan perlindungan diri kepada beberapa hospital dan barisan hadapan lain bagi membantu menambah ketersediaannya,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai peluang pekerjaan yang ditawarkan boleh didapati di laman https://edotcogroup.com/jobs/covid-care-programme/.