Johor Bahru: Pengilang pelitup muka dan fabrik melt blown di Malaysia, Durio PPE Sdn Bhd menyasarkan menembusi pasaran Asia Tenggara menerusi pengeksportan produk itu menjelang hujung tahun ini.

Ketua Projeknya, Quek See Kui berkata, lebih 30 syarikat pengeluar pelitup muka lain beroperasi di seluruh negara, namun sehingga kini hanya Durio menggunakan teknologi tinggi menghasilkan lapisan asas alat pelindung diri itu.

Katanya, dengan adanya mesin penguji kecekapan penapis khas bagi pelitup muka perubatan, fungsi pelitup muka secara tidak langsung lebih berkesan dalam mengurangkan risiko penyakit saluran pernafasan menerusi penyebaran virus.

“Pelaburan RM30 juta itu dimanfaat sepenuhnya dalam pengembangan produk dan kapasiti pengeluaran, di samping memenuhi permintaan semasa rakyat Malaysia yang mahukan pelitup muka berkualiti pada harga berpatutan.

“Durio menghasilkan sepenuhnya pelitup muka itu bermula daripada bahan mentah tanpa import dari negara luar di samping mempunyai mesin penguji untuk mengukur kualiti, ketahanan dan keaslian produk yang dihasilkan.

“Sehingga kini, syarikat mampu menghasilkan antara 1.5 juta hingga dua juta pelitup muka sehari yang mencukupi untuk penggunaan di negara ini dengan kekuatan 80 kakitangan,” katanya di kilang pengeluaran Durio di sini, semalam.

See Kui berkata, pihaknya berharap negara Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina menerima produk dihasilkan dengan keutamaan diberikan untuk keperluan petugas barisan hadapan.

“Syarikat giat menghasilkan empat unit mesin pengeluaran melt blown 1.6 meter yang boleh mencapai kapasiti bulanan 120 tan metrik.

“Ia termasuk 20 pengeluaran pelitup muka automatik bagi penghasilan pelitup muka tiga dan empat lapis dengan reka bentuk percetakan pelbagai warna.

“Pada masa sama, penyelidikan dijalankan secara berterusan dalam usaha meningkatkan kecekapan penghasilan produk, selain jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memastikan rantaian bekalan stabil.

“Daripada segi permintaan pasaran tempatan, syarikat mempunyai pengedar terutama membabitkan kawasan terpilih di pantai timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang, manakala pengguna juga boleh mendapatkannya secara atas talian iaitu di Shopee dan Lazada,” katanya.

Durio menghasilkan pelitup muka 100 peratus polipropilena, selain menawarkan bahan melt blown secara elektrostatik berkualiti tinggi untuk penapisan tahan lama dan tinggi.

Selain memenuhi keperluan ISO-13485, produk pelitup muka Durio lebih tertumpu kepada pengujian kecekapan penapisan zarah menggunakan 0.3 mikrometer ukuran zarah paling menembusi (MPPS) bagi memastikan keupayaan kecekapan penapisan yang boleh dipercayai.