BERMULA 18 Mei lalu, pengguna Boost mempunyai dua pilihan dompet iaitu Premium Wallet dan Basic Wallet di mana saiz dompet dan jumlah transaksi ditambah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah berkata, pengguna Premium Wallet kini mempunyai saiz dompet lebih besar iaitu sehingga RM4,999 berbanding RM1,500 sebelum ini.

“Dengan ketibaan hari raya tahun ini, walaupun kebanyakan keluarga tidak boleh pulang ke kampung, Boost melalui Premium Wallet menawarkan fungsi e-duit raya.

“Melalui fungsi penghantaran duit, pengguna kini boleh mengirim duit raya secara elektronik kepada ahli keluarga,” katanya.

Katanya, bagi pengguna Basic Wallet pula, kini mereka boleh menikmati saiz dompet lebih besar iaitu RM1,000 berbanding had sebelum ini RM200.

“Malah, had perbelanjaan juga ditingkatkan kepada RM2,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya, bagi mengelakkan penipuan dalam talian, pengguna Basic dan Premium tidak dibenarkan memindahkan baki ke akaun perbankan.

“Ini adalah langkah keselamatan yang dilaksanakan untuk melindungi pengguna. Sekiranya penipu itu mendapat maklumat berkaitan akaun yang dimiliki, mereka masih tidak boleh memindahkan jumlah berkenaan dari akaun pengguna,” katanya.

Sementara itu, menurutnya sempena musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi, Boost turut memperkenalkan 13 rakan jenama yang menawarkan ganjaran tunai segera selepas setiap transaksi yang dilakukan.

“Dalam keadaan semasa khususnya ketika pandemik Covid-19 masih berleluasa, transaksi secara tanpa sentuhan terus menjadi pilihan pengguna.

“Kami akan terus menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pengguna Boost untuk memastikan mereka mendapat ganjaran apabila menggunakan Boost,” katanya.