PELABURAN dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) banyak membantu mereka yang berdepan kesukaran ketika pandemik Covid-19 ini meneruskan kelangsungan hidup dengan menjadikan tabungan mereka sebagai sumber kewangan tambahan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Mohammad Hussin berkata, tidak dinafikan ramai mengeluarkan wang pelaburan mereka dari ASB ketika pandemik ini.

“Bagi kami, ia bukti yang menunjukkan bahawa pelaburan mereka dalam ASB mencapai matlamatnya iaitu sebagai sumber kewangan sewaktu kecemasan atau berdepan kesukaran,” katanya dalam satu temubual yang diadakan di sini, baru-baru ini.

ASB yang menyambut ulang tahun ke-30 tahun ini adalah satu daripada enam unit amanah harga tetap diuruskan ASNB yang diurusniagakan pada harga tetap RM1 seunit.

Menurutnya, tabung unit amanah terbesar negara itu kini mempunyai kira-kira 10 juta pelabur dengan nilai dana hampir RM170 bilion.

“Peningkatan dalam jumlah pelabur itu secara tidak langsung membuktikan usaha ASNB memupuk kesedaran masyarakat Bumiputera mengenai pelaburan menunjukkan hasil,” katanya.

Bagaimanapun Mohammad berkata, masih banyak perlu dilakukan ASNB untuk menyedarkan orang ramai supaya terus aktif melabur dalam ASB untuk membina tabungan, sama ada ketika kecemasan atau pun untuk matlamat jangka panjang seperti membeli rumah.

“ASB dilancarkan bagi menggantikan Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) yang perlu diniagakan pada harga pasaran menjelang 1991. Langkah ini bertujuan memastikan minat Bumiputera untuk melabur tidak terjejas berikutan perubahan struktur urus niaga ASN itu.

“Seperti unit amanah dan pelaburan yang lain, sepanjang tempoh 30 tahun ini, pulangan dividen diberikan kepada pelabur ASB ada turun naiknya namun ia masih kompetitif berbanding pelaburan lain dengan ciri yang sama,” katanya.

Mohammad berkata, ASB sentiasa menawarkan pulangan dividen kompetitif kepada pelaburnya dan pernah mencecah sehingga dua angka pada 1990-an.

“Bagaimanapun, ia sudah berubah berbanding ketika awal pelancaran ASB. Sebenarnya prestasi ekonomi dan pasaran saham dalam dan luar negara banyak mempengaruhi keupayaan ASB memberi pulangan kerana tabung itu melabur sebahagian besar dananya dalam pasaran saham tempatan.

“Jika perbandingan dibuat dengan deposit tetap, kadar pulangan deposit tetap pada 1990-an juga tinggi iaitu lebih tujuh peratus dan pernah mencecah sehingga 11 peratus.

“Namun pada masa ini ia sudah turun kepada lebih kurang 3 hingga 4 peratus sahaja sejak beberapa tahun lalu dan tahun ia ini turun kepada kira-kira satu peratus sahaja selepas Bank Negara beberapa kali menurunkan kadar dasar semalaman (OPR),” katanya.

Perbandingan dibuat antara ASB dan deposit tetap kerana kedua-duanya mempunyai ciri yang sama iaitu risiko rendah dan nilai modal tidak berubah.

Namun ASB lebih istimewa kerana wang pelaburan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa sedangkan deposit tetap menetapkan tempoh pelaburan tertentu.

Mohammad berkata, apabila melabur dalam ASB, pelabur tidak perlu bimbang mereka akan kehilangan modal.

“Yang berubah adalah pulangan atau dividen tahunan diberikan dan selagi masih ada pulangan, selagi itulah pelaburan dalam ASB akan berkembang selagi ia tidak dikeluarkan,” katanya.

Menjelaskan strategi ASNB dalam menyampaikan ilmu pelaburan, Mohammad berkata, ASNB sentiasa menganjurkan pelbagai program kewangan bagi memberi memberi kefahaman mengenai simpanan dan pelaburan serta risiko kepada pelabur.

“Antara program utama yang pernah dianjurkan ialah Minggu Amanah Saham Malaysia (MASM) dan seminar yang dibuat setiap hari tanpa gagal.

“Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19 ini, seminar fizikal yang diadakan setiap hari itu tidak dapat dilaksanakan dan digantikan dengan penganjuran webinar bersesuaian dengan norma baharu.

“Kita terpaksa mengubah strategi dengan menganjurkan webinar bagi memastikan pelabur tidak tertinggal dengan pendidikan pelaburan.

“Untuk tahun ini, kita menjangkakan 70 webinar dan setakat April hingga sekarang, sudah 46 webinar yang diadakan dua kali seminggu secara percuma,” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan ulang tahun ke-30 ASB, ASNB menganjurkan kempen pelaburan iaitu Kumpul dan Menang yang menawarkan hadiah menarik, pelabur hanya perlu membuat pelaburan minimum RM30 untuk layak menang.

Kempen kedua ialah Jom Auto Labur yang menawarkan hadiah utama berupa Proton Saga 1.3L Premium AT.

Menerusi kempen Jom Auto Labur pula, pengguna kemudahan Auto [email protected] sedia ada hanya perlu menambah potongan bulanan minimum dalam ASB sebanyak RM30 daripada potongan sedia ada manakala pengguna baharu pula perlu menetapkan potongan bulanan minimum RM60.

Untuk mula menggunakan kemudahan Auto Labur, pelabur perlu terlebih dulu mendaftar dalam talian di www.myasnb.com.my untuk menjadi pengguna portal myASNB.

Tempoh kedua-dua kempen ialah dari 1 Ogos hingga 17 Disember 2020.