DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) meraih untung sebelum cukai RM540.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (TK2020) disokong pemulihan perniagaan sederhana dalam separuh kedua 2020 serta muktamadnya transaksi pelupusan aset syarikat.

Prestasi kewangan positif itu diraih menerusi pendapatan RM13.2 bilion yang dicatatkan konglomerat itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 dipacu sektor automotif dan hartanah kumpulan.

DRB-HICOM dalam kenyataan berkata, bagi 2020, ia tahun kewangan penuh pertama DRB-HICOM untuk tempoh kewangan yang dirombak, sekali gus menyaksikan tiada angka suku tahunan atau tahunan terdahulu untuk perbandingan.

Bagi suku tahun berakhir 31 Disember 2020, syarikat itu meraih pendapatan RM4.85 bilion, dengan untung sebelum cukai berjumlah RM948.8 juta.

“Bagi sektor automotif, DRB-HICOM terus menikmati kesan positif dari keputusan kerajaan memberi pengecualian cukai jualan bagi pembelian kenderaan penumpang dengan pendapatan berjumlah RM8 bilion bagi TK2020,” katanya.

Bagi tempoh suku tahun, suku keempat merekodkan prestasi terbaik dalam tempoh 12 bulan, dengan pendapatan berjumlah RM2.6 bilion, meningkat tiga peratus berbanding suku sebelumnya.

Pendapatan bagi sektor perkhidmatan pula mencecah RM3.5 bilion, didorong terutamanya oleh prestasi anak syarikat dari subsektor pos dan logistik, serta operasi perbankan.

Bagi suku keempat, DRB-HICOM meraih pendapatan berjumlah RM877.4 juta iaitu prestasi kedua terbaik sektor berkenaan selepas suku ketiga dengan pendapatan RM918.7 juta.

Sektor hartanah pula mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.3 bilion, disokong transaksi pelupusan aset dan pelaburan oleh kumpulan.

Mengulas mengenai prospek TK2021, DRB-HICOM berkata, sektor automotif akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi kumpulan menerusi lanjutan pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang sehingga 30 Jun tahun ini.

“MAA optimis bahawa pasaran otomotif tempatan akan pulih pada tahun 2021, dengan TIV diunjur meningkat ke 570,000 unit, berbanding 529,434 unit untuk tahun 2020.

“Pelancaran pelbagai varian kemaskini dan kempen promosi yang agresif oleh jenama kenderaan terkenal di dalam kumpulan akan turut merangsang perniagaan automotif DRB-HICOM dalam tahun kewangan semasa,” katanya.

DRB-HICOM berkata, operasi dalam segmen pertahanan, aeroangkasa, perbankan, perkhidmatan dan hartanah akan terus mensasar peningkatan kecekapan operasi ke arah mengoptimumkan kos sambil meningkatkan produktiviti.

“Dalam persekitaran ekonomi yang sukar ini, kumpulan menjangkakan TK2021 tetap mencabar, dengan perkembangan global berkaitan Covid-19 masih tidak menentu.

“Justeru, DRB-HICOM akan terus mengguna pakai, atau jika perlu, merancang pendekatan kos pengurusan berhemah yang baharu, disamping memberi fokus untuk memperkukuh segmen teras kumpulan bagi memastikan kesinambungan perniagaan,” katanya.