DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mencadangkan penambahan sebanyak RM1.5 bilion dana mikro kredit berbanding RM700 juta ketika ini bagi membantu lebih ramai usahawan kecil dan mikro yang berdepan impak Covid-19.

Presiden DPMM, Dr Abdul Halim Husin berkata, skim mikro kredit bagi pakej tambahan (RM1.5 bilion) ini sepatutnya dibuat secara dana pusingan modal kerja.

Katanya, melalui kaji selidik yang dijalankan, DPMM mendapati 68.9 peratus usahawan Melayu sebenarnya lebih memerlukan bantuan modal niaga pusingan tanpa faedah demi kelangsungan perniagaan pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding pinjaman.

“Pelaksanaan PKP dan wabak Covid-19 telah menjejaskan ‘daya imuniti’ kewangan majoriti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro untuk terus bertahan dalam tempoh kritikal ini sekiranya berlanjutan.

“Majoriti PKS juga memerlukan bantuan aliran tunai dan kepantasan bantuan membolehkan mereka kembali pantas memulihkan prestasi bisnes memandangkan aliran tunai kebanyakan usahawan mampu bertahan sekitar tiga bulan saja.

DPMM mendapati 68.9 peratus usahawan Melayu sebenarnya lebih memerlukan bantuan modal niaga pusingan tanpa faedah demi kelangsungan perniagaan pasca PKP. FOTO Osman Adnan
DPMM mendapati 68.9 peratus usahawan Melayu sebenarnya lebih memerlukan bantuan modal niaga pusingan tanpa faedah demi kelangsungan perniagaan pasca PKP. FOTO Osman Adnan

“Kami juga lihat PKS bukan hanya memerlukan penyelesaian aliran tunai tetapi bantuan secara holistik termasuk bimbingan dan bantuan pemasaran untuk memulihkan perniagaan,” katanya pada sidang media hasil kaji selidik kesan PKP terhadap usahawan Melayu di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon.

Berdasarkan kaji selidik yang mula dijalankan pada 4 April lalu mendapati 52 peratus daripada 1,000 responden menyatakan bahawa perniagaan mereka hanya mampu bertahan dalam tempoh sebulan walaupun dengan adanya bantuan Skim Bantuan Upah.

Hasil kaji selidik itu juga mendapati 39.1 peratus yakin bahawa prestasi perniagaan mereka boleh dipulihkan selepas PKP, manakala 28.7 peratus pula merasakan bahawa model perniagaan sedia ada mereka perlu diubah mengikut kelaziman baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan