SYARIKAT industri kecil dan sederhana (IKS) perlu menjalani proses transformasi digital bagi semua aspek perniagaan termasuk urus tadbir dan operasi demi menjadi lebih berdaya saing dalam industri masing-masing.

Menyedari kepentingan itu, kerajaan negeri menerusi Invest Selangor Berhad mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Program Digitalisasi Urustadbir Tenaga Kerja (PRODUTK).

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, PRODUTK adalah program digitalisasi tenaga kerja yang dibangunkan untuk merekodkan kehadiran, jadual kerja, laporan suhu, analisis data dan pemantauan menerusi web atau aplikasi.

“Inisiatif ini untuk memacu perkhidmatan yang terbaik di samping melakukan unjuran lebih tepat.

“Pembangunan sistem, aplikasi dan perkhidmatan seperti ini membuka peluang kepada usahawan menghasilkan model perniagaan lebih terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran PRODUTK di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pengenalan program itu juga sejajar aspirasi negara beralih kepada transformasi digital rentetan daripada perkembangan teknologi semasa.

Katanya, menerusi program itu, syarikat dapat melanggan program digitalisasi tenaga kerja yang komprehensif apabila sebahagian daripada perbelanjaan ditanggung kerajaan negeri.

“Kerajaan Selangor juga berharap langganan program ini membolehkan syarikat beroperasi lebih produktif sehingga dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat beberapa kriteria ditetapkan kepada mana-mana perusahaan IKS yang berminat menyertai program ini seperti majoriti pemegang hak milik perniagaan adalah warganegara.

Selain itu, syarikat perlu memiliki kakitangan tidak melebihi 200 pekerja (sektor pembuatan), atau tidak melebihi 75 kakitangan (sektor perkhidmatan) dan ada ibu pejabat di Selangor.

Selain itu, pendaftaran program ini boleh dibuat sehingga 30 Disember depan dan peserta berpeluang menikmati langganan percuma selama tiga bulan.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman http://investselangor.my/PRODUTK.