SELEPAS pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus baru-baru ini, beberapa bank mula mengambil langkah menyemak semula kadar asas (BR) dan kadar pembiayaan asas (BFR).

Bank Islam Malaysia Bhd menyemak semula BR sebanyak 50 mata asas kepada 2.77 peratus daripada 3.27 peratus dan BFR kepada 5.72 peratus daripada 6.22 peratus, berkuat kuasa 12 Mei.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kadar deposit juga akan diselaraskan ke bawah sebanyak 50 mata asas sejajar langkah yang diumumkan BNM.

Katanya, walaupun pengurangan itu akan memberi kesan kepada pendapatan, ia dilakukan untuk kepentingan pelanggan dan akan terus membantu masyarakat dalam tempoh sukar ini serta menyokong ekonomi untuk kembali normal.

“Kami sudah menjangka pengurangan ini dan bersedia untuk segala kemungkinan yang timbul ekoran pengurangan OPR dengan terus memberi fokus dalam mempelbagaikan aliran pendapatan bank, terutama dalam segmen pendapatan berasaskan fi,” katanya.

Bank akan menyusun strategi untuk mengimbangi portfolio pembiayaan supaya kos dapat diurus dengan lebih berkesan yang akan membantu mengurangkan tekanan margin pendapatan bersih (NIM).

“Kami memanfaatkan kemajuan teknologi, dan melaksanakan beberapa inisiatif pendigitalan untuk memacu kecekapan operasi, memberi sokongan tambahan kepada keuntungan jangka panjang dan daya maju keseluruhan,” katanya.

Semakan terakhir BR Bank Islam dilaksanakan pada 6 Mac lalu.

Sementara itu, Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) turut mengurangkan BR, BRF dan akaun-i jangka tetap (FTA-i) mulai 13 Mei.

Bank Muamalat berkata, BR dan BFR bank itu masing-masing akan disemak semula sebanyak 50 mata asas kepada 2.81 peratus setahun daripada 3.31 peratus setahun dan kepada 5.81 peratus setahun daripada 6.31 peratus setahun.

“Ini akan mempengaruhi semua pakej pembiayaan kadar terapung yang ditambat kepada BR dan BFR,” katanya.

Sejajar dengan penurunan BR dan BFR, kadar deposit FTA-i BMMB juga akan disemak semula, menurun sebanyak 50 mata asas.