Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa Deloitte PLT (Deloitte) telah bersetuju dengan suatu penyelesaian bernilai RM324 juta (AS$80 juta) untuk

menyelesaikan semua tuntutan berkaitan tanggungjawab fidusiari mereka di dalam pengauditan akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi tempoh 2011 hingga 2014.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia adalah satu lagi kejayaan dalam usaha pemulihan berterusan kerajaan Malaysia terhadap pihak yang terbabit dalam 1MDB, SRC dan entiti berkaitan dengannya.

“Kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terbabit, secara langsung atau tidak langsung,

di dalam skim global 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ia adalah penyelesaian berkaitan 1MDB terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

“Kejayaan penyelesaian luar mahkamah dengan Deloitte akan mempercepatkan pembayaran wang penyelesaian berkenaan untuk memenuhi kewajiban tertunggak 1MDB dan SRC, tanpa proses mahkamah yang mungkin berpanjangan dan mahal,” katanya.

Pada bulan Julai 2020, kerajaan telah berjaya di dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion).

Pada 26 Februari 2021 pula, kerajaan juga telah berjaya mencapai penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion berkaitan pembabitan kumpulan perbankan di dalam isu 1MDB.

Kesemua penyelesaian ini tidak akan mempengaruhi

atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya, dan yang masih giat dicari berhubung skandal 1MDB.

Katanya, Kementerian Kewangan merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, pasukan Polis Diraja

Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini.