Semua pengendali telekomunikasi (telco) mengumumkan senarai inisiatif membantu pelanggan kekal terhubung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan dan menyokong mereka dengan bantuan dalam bentuk data percuma.

Pengendali industri Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Berhad dan TIME dotcom Berhad (Time) mengerahkan pasukan berdedikasi mereka bekerja sepanjang masa bagi mengekalkan tahap perkhidmatan rangkaian dan sambungan.

Dalam kenyataan bersama semalam, semua telco menawarkan Internet percuma kepada semua pelanggan bernilai lebih RM600 juta.

“Semua pelanggan pascabayar dan prabayar Celcom, Digi, Maxis, dan U Mobile menerima internet percuma berkelajuan tinggi sebanyak 1GB setiap hari yang boleh digunakan antara jam 8 pagi dan jam 6 petang.

“Ini bermula pada 1 April dan berkuat kuasa sepanjang tempoh PKP dengan penebusan dari pengendali masing-masing,” katanya.

Menurutnya, TM dan Time menyokong pengendali mudah alih dengan menyediakan kapasiti fiber tambahan untuk memenuhi permintaan penggunaan yang lebih tinggi.

“Industri ini berusaha untuk mengurangkan beban segmen B40 dalam tempoh ini dan akan mengumumkan pelan untuk tujuan ini dalam masa terdekat, berikutan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menubuhkan mekanisme terbaik menyokong segmen ini.

“Di samping itu, semua pengendali menawarkan pakej dan bantuan khusus untuk pelanggan mereka,” katanya.

Menurutnya, pelaburan RM400 juta untuk menyokong permintaan yang meningkat dan menyediakan ketersediaan dan kapasiti rangkaian berterusan.