DANA OHMYDIN! The Brand Festival berjumlah RM163,000 yang dilaksanakan di bawah tanggungjawab sosial korporat MYDIN Prihatin mula disumbangkan kepada 15 rumah kebajikan.

Rumah Kebajikan Pertubuhan Islam Peribadi Mulia menjadi penerima pertama dengan sumbangan bernilai RM10,000 dan barangan daripada produk jenama Mamee, Nestle dan P&G.

Selain itu, MYDIN turut menyumbangkan bahan bacaan komik Saya Anak Malaysia dan RM100 kepada setiap guru dan penjaga rumah terbabit.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin berkata, syarikat korporat harus turun padang membantu golongan yang memerlukan khususnya apabila menghadapi krisis pandemik Covid-19.

“Keuntungan perniagaan harus dikongsi dengan mereka yang memerlukan.

“Rumah Kebajikan Pertubuhan Islam Peribadi Mulia ini adalah yang pertama dan kita akan memanjangkan sumbangan kepada 14 rumah kebajikan lagi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Nurul Syuhadah Noor Rizan berkata, pihaknya berterima kasih dengan bantuan yang dihulurkan MYDIN serta rakan penaja lain.

“Kami sangat bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu dan menghulurkan di saat kami memerlukan,” katanya.