FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) menawarkan dana khas berjumlah RM5 juta, dikenali sebagai Dana MOH FWD MY Heroes.

Dana itu didedikasikan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan keluarga mereka.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kesihatan barisan hadapan kerana pengorbanan dan kesabaran mereka yang sentiasa meletakkan keperluan pesakit terlebih dahulu demi membendung penularan Covid-19.

“Di FWD Takaful, visi kami adalah untuk mengubah pandangan orang ramai mengenai Takaful dan oleh itu, kami berterima kasih di atas peluang untuk menunjukkan sokongan kepada rakan KKM dan ahli keluarga terdekat mereka melalui Dana MOH FWD MY Heroes.

“Sepanjang tempoh yang mencabar ini, mereka bekerja di barisan hadapan dan bekerja tanpa henti untuk memastikan Malaysia lebih selamat, walaupun mereka berdepan risiko tinggi terhadap virus itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain dalam kenyataan, semalam.

Manfaat percuma selama enam bulan ini bermula 1 April lalu sehingga dana khas terbabit habis diguna pakai.

Semua petugas kesihatan barisan hadapan KKM berhak mendapat pembayaran ihsan kematian akibat Covid-19 atau sebab lain.

“Kami juga akan menyediakan elaun pelepasan jika petugas kesihatan barisan hadapan KKM dimasukkan ke hospital kerana Covid-19, dan elaun pelepasan ini akan turut diberikan kepada ahli keluarga terdekat mereka,” katanya.

FWD Takaful adalah pengendali Takaful di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan Takaful keluarga.

FWD Takaful dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia Bank Negara Malaysia.