RHB Bank Bhd (RHB Bank) menyediakan Credit War Room (CWR) bagi membantu pelanggan meringankan beban kewangan selepas tempoh moratorium berakhir pada September 2020.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, penyediaan CWR itu adalah persiapan awal pihaknya dan menetapkan strategi kredit sebagai tindak balas terhadap pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kumpulan juga menjalankan koordinasi usaha dalam memastikan maklum balas konsisten dan tersusun.

“CWR akan memastikan penggunaan sumber yang mencukupi, pembabitan pelanggan yang berkesan dan ketersediaan saluran yang sesuai apabila diperlukan.

“Bank akan memberikan bantuan pembayaran bersasar kepada pelanggan yang mengalami kesukaran untuk membayar ansuran mereka selepas tamat moratorium.

“Usaha dipergiatkan untuk menjangkau pelanggan melalui pelbagai saluran komunikasi seperti panggilan telefon, lawatan fizikal, sistem pesanan ringkas (SMS), meja bantuan PKS, e-mel dan pengiriman surat elektronik langsung (e-DM) dan sosial media.

“Kami juga mempunyai halaman laman web khusus dengan soalan lazim untuk pelanggan runcit dan PKS,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama 2020 RHB Bank secara maya, semalam.

Khairussaleh berkata, bagi pelanggan runcit, kumpulan menyediakan pilihan bantuan pembayaran pinjaman atau pembiayaan seperti penangguhan pembayaran bagi mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan.

Beliau berkata, selain itu turut disediakan pengurangan pembayaran ansuran bagi mereka yang mengalami pengurangan gaji atau pendapatan; pembayaran faedah atau keuntungan untuk tempoh masa tertentu serta pemanjangan tempoh pinjaman/pembiayaan untuk membolehkan pembayaran ansuran bulanan lebih rendah.

“Sehingga 26 Ogos lalu, lebih daripada 7,000 akaun dengan nilai sekitar RM1 bilion diluluskan di bawah bantuan pembayaran ini.

“Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, beberapa pilihan bantuan pembayaran pinjaman diwujudkan oleh kami seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang sudah diterima oleh lebih 1,300 pelanggan dengan nilai RM910 juta.

“Dana Bantuan BizPower (BRF), alternatif kepada SRF juga sudah diluluskan lebih RM300 juta.

“RHB Bank juga memperkenalkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang pertama bagi membolehkan pelanggan untuk berinteraksi melalui aplikasi mudah alih dan mengemukakan permohonan secara dalam talian,” katanya.

Keuntungan bersih RHB Bank dalam separuh pertama 2020 susut 22 peratus kepada RM971.7 juta berbanding RM1.25 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatannya dalam tempoh dikaji jatuh 5.7 peratus kepada RM3.32 bilion berbanding RM3.52 bilion pada separuh pertama 2019.

Khairussaleh berkata, penurunan pendapatan itu disebabkan oleh kerugian ‘one off’ sebanyak RM392.4 juta melalui moratorium pembayaran pinjaman yang diberikan kepada pelanggan dan peruntukan kerugian kredit yang lebih tinggi.