Wan Junaidi berkata, penambahbaikan yang dilaksanakan juga membuktikan MEDAC dan agensi peka terhadap keperluan semasa selain memantapkan PKS di negara ini. – Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensi di bawahnya komited mempercepat tempoh proses permohonan untuk membantu usahawan yang terjejas akibat COVID-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usaha itu antara inisiatif yang dilakukan pihaknya untuk menambah baik produk dan perkhidmatan yang disampaikan bagi manfaat usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mikro dan koperasi.

Katanya, penambahbaikan yang dilaksanakan juga membuktikan MEDAC dan agensi peka terhadap keperluan semasa selain memantapkan PKS di negara ini.

"Selaras dengan usaha ini, MEDAC melalui hasil kajian yang telah dibuat mengambil langkah menyesuaikan penyampaian program dan perkhidmatan berdasarkan situasi semasa untuk memudahkan lagi urusan usahawan.

"Perhatian khusus perlu diberikan bagi memastikan usahawan mendapat sokongan sewajarnya daripada kerajaan supaya ianya dapat beroperasi seperti biasa.

"Adalah penting proses dan prosedur dipermudahkan serta ditambahbaik agar akses kepada kemudahan kewangan atau perkhidmatan lebih cepat diterima dan akhirnya menghasilkan impak yang positif," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Junaidi  menambah, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah dengan memudah cara permohonan, menambah baik tempoh proses dan kelulusan pembiayaan seperti berikut:

1- COVID Business Recovery – Micro (CBRM) oleh TEKUN Nasional

– Memerlukan empat dokumen sokongan sahaja berbanding 17 dokumen sokongan sebelum ini. Dokumen tersebut adalah salinan sijil pendaftaran syarikat atau lesen perniagaan, salinan kad pengenalan, salinan penyata bank dan salinan bil utiliti.

2- Special Relief Facility (SRF) oleh SME Bank dan Bank Rakyat

– Proses permohonan SRF dipendekkan kepada lima hari sahaja berbanding 30 hari (SME Bank) dan 21 hari (Bank Rakyat)

3- Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia

– Proses permohonan dipendekkan kepada 14 hari sahaja berbanding 30 hari.

4- Skim Pembiayaan Francaisor, Pra Francais dan Francaisi oleh Perbadanan Nasional Berhad

– Proses permohonan dipendekkan kepada 10 hari sahaja berbanding 14 hari

5- Audit Pematuhan Program PROTEGE – Ready To Work (RTW)

– Lawatan Audit diminimumkan kepada satu hari sahaja berbanding tiga hari.

6- Pengeluaran Penuh Simpanan Usahawan oleh TEKUN Nasional

– Proses permohonan dipendekkan kepada dua hari sahaja berbanding tujuh hari.