Pendekatan yang disifatkan ‘menyakitkan’ itu bakal dituruti oleh beberapa syarikat penerbangan lain dalam beberapa minggu akan datang. Gambar fail

SEKURANG-KURANGNYA 12,000 kakitangan syarikat penerbangan British Airways (BA) akan kehilangan pekerjaan berikutan kemerosotan permintaan bagi perjalanan udara akibat pandemik COVID-19.

International Consolidated Airlines Group SA, berkata langkah penstrukturan semula membabitkan 30 peratus kakitangan anak syarikatnya itu terpaksa diambil bagi membolehkan perniagaan kekal bertahan untuk tahun mendatang.

“Dengan ketiadaan perjalanan udara, hasil operasi turut meruncing pada waktu ini kesan daripada pandemik COVID-19 yang menyebabkan permintaan merosot,” katanya seperti dilaporkan Bloomberg.

Difahamkan, pendekatan yang disifatkan ‘menyakitkan' itu bakal dituruti oleh beberapa syarikat penerbangan lain dalam beberapa minggu akan datang susulan sekatan perjalanan udara seluruh dunia.

Sementara itu, menerusi surat majikan kepada pekerja, Ketua Pegawai Eksekutif BA, Alex Cruz, berkata pinjaman kewangan oleh syarikat itu hanya boleh bertahan untuk jangka masa pendek dan tidak akan mampu menampung cabaran yang akan dihadapi dalam jangka masa panjang.

Seperti syarikat penerbangan Eropah yang lain, BA dilaporkan turut terjejas akibat kontrak lindung nilai bahan api yang direka untuk melindungi mereka jika harga bahan itu meningkat, namun membawa kesan buruk apabila harganya turun mendadak.

Syarikat itu yang sebelum ini mengarahkan 22,626 kakitangannya mengambil cuti sementara, akan mula berbincang dengan kumpulan pekerja bagi tujuan pelaksanaan penstrukturan semula itu dalam masa terdekat.