Presiden Big Blue Capital Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail, menjelaskan perubahan strategi syarikat itu bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan. – Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Selepas lebih 17 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negara ini, sudah tentu pelbagai sektor terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Namun disebalik tekanan itu, ada syarikat yang terus bangkit dari keadaan semasa untuk memastikan perniagaan mereka diteruskan.

Bagi syarikat pengendali teksi, Big Blue Capital Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu, beberapa strategi perniagaan telah diolah semula, menukarkan strategi dari perkhidmatan menghantar penumpang kepada perkhidmatan penghantaran makanan.

Menurut Presidennya, Datuk Shamsubahrin Ismail, inisiatif itu diambil bagi membantu 10,000 pemandu dibawah syarikat itu untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

"Big Blue Taxi ditubuhkan asalnya untuk mengambil penumpang, jadi apabila COVID-19 berlaku, penumpang tidak menggunakan perkhidmatan Big Blue, ia menyebabkan pulangan pendapatan jatuh, bukan sahaja syarikat malahan pemandu sekali (terkesan).

"Jadi dengan itu syarikat Big Blue, setelah mengambil keputusan drastik mengubah strategi bagi sektor Big Blue ini supaya pemandu dapat menjana pendapatan walaupun tidak sehebat dahulu tetapi mereka ada pendapatan sekurang-kurangya boleh beli barang dapur.

"Kami sediakan perkhidmatan personal shopper yang mana anda boleh tempah pemandu kita dan memberi arahan dalam sistem apa yang perlu mereka buatkan untuk rakyat atau pelanggan. Contoh apabila pelanggan suruh angkat baju, mahupun membeli barangan di pasar, pemandu kita akan melaksanakan tugas itu untuk pelanggan," katanya.

Jelasnya, meskipun sambutan agak kurang namun beliau percaya perkhidmatan itu dapat membantu rakyat dan akan menerima sambutan baik sepanjang tempoh PKP ini.

Katanya lagi  sudah sampai masanya untuk sektor perniagaan mahupun perkhidmatan untuk mengambil langkah berani untuk mengubah strategi perniagaan mereka.

Disamping khidmat penghantaran, sebagai syarikat yang mempunyai satu juta pelanggan sehingga kini, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tetap dijalankan dengan melancarkan khidmat penghantaran barangan sumbangan kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan.

Selain itu, Big Blue juga akan melaksanakan program penyemburan disinfeksi hapus COVID-19 yang akan dilakukan oleh tenaga kerjanya di kawasan Zon Merah.

"Kita sedang mencari dana untuk projek sembur penyah kuman dimana kita akan import bahan kimia yang boleh membanteras virus COVID-19. Bahan itu akan tiba minggu ini, kita akan melantik pemandu teksi tidak bekerja dan e-hailing untuk bersama menyembur semua kawasan Zon Merah terutamanya di kawasan perumahan.

"Kerana alat ini mahal, jadi kita menggunakan dana-dana yang akan disalurkan kepada kita oleh semua golongan jutawan, ahli korporat. Justeru, kita mohon semua tampil bersama Big Blue membantu kami," kata Shamsubahrin lagi.

Program itu ujarnya akan melibatkan 5,000 hingga 8,000 sukarelawan termasuk tenaga kerjanya sendiri.