PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) kembali menganjurkan Kempen Coffee Break Petronas sempena sambutan Aidikfitri namun kempen kali ini menampilkan sedikit perbezaan apabila turut memberi tumpuan kepada petugas barisan hadapan.

Sebagai sebahagian daripada kempen Coffee Break tahunannya, PDB akan memberi sumbangan kepada 18 organisasi bagi membantu meringankan beban mereka memerangi pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, pihaknya bersama rakan kongsi akan mengedarkan kopi, makanan ringan dan baucar membeli-belah percuma kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), 15 hospital, Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Nasional (Nadma).

Antara rakan kongsi yang terbabit adalah Nestlé (Malaysia) Bhd, Delfi Marketing Sdn Bhd, Podirect Trading (M) Sdn Bhd, iNova Pharmaceuticals (Singapore) Pte Ltd (Cawangan Malaysia), Barkath Stores (Sunquick Malaysia), Julie’s Marketing Sdn Bhd, Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd.

“Pada tahun sebelumnya, kopi dan makanan ringan percuma ditawarkan kepada pemandu kenderaan yang pulang ke kampung pada musim perayaan.

“Memandangkan persekitaran semasa yang terhad tahun ini, kami ingin menyalurkan sumber daya kami kepada petugas barisan hadapan sebagai gantinya.

“Kami berharap mereka dapat menikmati kopi dan makanan ringan percuma, ketika mereka berbuka puasa. Mereka bekerja untuk membantu memerangi Covid-19,” katanya.