CO-OPBANK Pertama (CBP) memperuntukkan dana RM20 juta menerusi kemudahan pembiayaan Program CB-Prihatin (Profesional) untuk dimanfaatkan kalangan firma profesional, koperasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan aktiviti perkhidmatan dan pengguna.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata, program itu lanjutan Pakej Program CB-Prihatin diumumkan pada 8 April 2020 bagi membantu pihak yang terjejas akibat Covid-19.

“Pakej ini bertujuan untuk membantu mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek dan mengekalkan (kelangsungan) operasi perniagaan semasa tempoh sukar terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pembiayaan CB-Prihatin (Profesional) itu merangkumi kos seperti fi pengarah dan gaji pekerja, pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh majikan, utiliti dan sewa premis.

“Di bawah program ini, mana-mana syarikat, PKS atau koperasi yang layak boleh memohon mendapatkan kemudahan pembiayaan sebahagian kos operasi terutama tanggungan gaji pekerja dan pengarah, bayaran caruman KWSP (bagi majikan), bayaran sewa, bil utiliti perniagaan, termasuk premium untuk caruman takaful,” katanya.

Menurutnya, ini kos operasi bulanan yang perlu ditanggung majikan walaupun dalam tempoh PKP ini.

Sehubungan itu, beliau berharap mereka yang layak dapat menghubungi CBP untuk memohon kemudahan pembiayaan itu.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi menerusi talian 1-300-88-7650 atau e-mel [email protected].

CBP diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah bank dan mempunyai 26 cawangan di seluruh negara.