CIMB Bank Bhd menandatangani perjanjian kemudahan pinjaman berjangka berkaitan kelestarian bernilai RM270 juta dengan Malaren International Sdn Bhd yang juga anak syarikat StarHub Group, penyedia perkhidmatan komunikasi, maklumat dan hiburan Singapura.

Perjanjian itu adalah pinjaman berkaitan kelestarian (SLL) pertama bank berkenaan sejak mengumumkan tawaran berkaitan pada Januari 2020 dan membabitkan komitmen RM3 bilion kepada SLL untuk peminjam korporat serta pinjaman pertama StarHub yang dikaitkan dengan sasaran prestasi lestari.

“Aspek kelestarian itu adalah perkara penting untuk strategi dan operasi CIMB dan StarHub. Sejajar kedudukan sebagai sebuah organisasi yang dapat mempengaruhi amalan kelestarian terbaik dalam rangkaiannya, CIMB bermatlamat mendorong pelanggan ke arah penerapan amalan perniagaan yang bertanggungjawab menerusi pengurangan impak negatif dan pada masa sama memberi insentif untuk tingkah laku korporat yang positif.

“Usaha penyediaan SLL ini adalah sebahagian daripada pendekatan lestari yang memberi kemudahan kepada peminjam korporat yang berminat meningkatkan prestasi kelestarian mereka sama ada satu atau lebih daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata CIMB dalam kenyataan bersama, semalam.

Ketua Pegawai Strategi dan Reka Bentuk CIMB Group, Gurdip Singh Sidhu menyifatkan kemudahan itu sebagai detik bermakna kerana menghimpunkan dua organisasi besar dalam transaksi rentas sempadan berkaitan lestari yang pertama bagi Malaysia-Singapura.

“Ia turut menjadi bukti komitmen CIMB dalam memacu agenda lestari di seluruh ASEAN. Sejak pengumuman tawaran SLL ini pada awal tahun ini, kami teruja dengan minat tinggi oleh kalangan pelanggan di Malaysia serta rantau ini,” katanya.

Bagi menggalakkan ketelusan dan prestasi alam sekitar, CIMB akan memberi rebat terhadap pinjaman berdasarkan kadar faedah itu mengikut prestasi StarHub dalam Skor Perubahan Iklim CDP tahunannya bagi tahun-tahun kewangan 2021 hingga 2023.

“StarHub layak bagi penjimatan kadar faedah setiap tahun jika ia dapat mencapai sasaran tahunan Skor CDP yang dipersetujui awal. CDP atau sebelum ini dikenali sebagai Projek Pendedahan Karbon, menjadi indeks penanda aras global bagi pengurusan impak berkaitan cuaca bagi menilai kemajuan responden terhadap usaha alam sekitar,” katanya.