CELCOM Axiata Berhad (Celcom) mempercepat peluang penerapan digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi Celcom Business Suite.

Celcom Business Suite adalah kit digital PKS sehenti yang mampu mengubah dan mengoptimumkan operasi perniagaan PKS.

Pembabitan Celcom sebagai Rakan Penyelesaian Teknologi bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membolehkan Celcom Business Suite ditawarkan sebagai salah satu perkhidmatan yang layak menerima geran Digitalisasi Perniagaan.

Geran itu diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2020 menawarkan kepada PKS pemberian 50 peratus yang hampir sama dengan RM5,000 untuk setiap langganan perkhidmatan digital seperti Point of Sales elektronik (e-POS), Perancangan Sumber Perusahaan (ERP), sistem gaji elektronik, pemasaran digital, perolehan, e-dagang dan kerja jarak jauh.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom, Azlan Zainal Abidin berkata, Celcom menawarkan kepada pemilik perniagaan peluang unik untuk mengubah perniagaan mereka secara digital.

“Celcom bersedia memenuhi permintaan digital PKS dengan pelbagai perkhidmatan serta meningkatkan pengusaha dengan kepintaran perniagaan digital melalui program ini,” katanya dalam kenyataan.

Celcom Business Suite menawarkan pelbagai penyelesaian digital untuk PKS seperti e-POS berasaskan Cloud, pembayaran elektronik, penyelesaian pemasaran digital dan alat produktiviti tambahan seperti tablet dan Microsoft Office365.

Perkhidmatan menyeluruh ini membolehkan perniagaan dengan penyelesaian digital yang tepat, dipadankan dengan mempermudahkan digitalisasi perniagaan berskala kecil.

Dengan menawarkan penyelesaian yang mudah dan sederhana, PKS tidak perlu mencari penyelesaian digital dari pelbagai penyedia.