CHEMICAL Company of Malaysia Bhd (CCM) menyasarkan untuk meraih keuntungan tahun ini daripada dua projek yang ditangguhkan pada 2019 iaitu kontrak pembekalan caustic soda kepada kemudahan Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid) Petronas serta pengembangan kapasiti untuk memenuhi permintaan produk chlor-alkali yang semakin meningkat.

Ia berkata perjanjian untuk membekalkan hingga 351,000 metrik tan (MT) caustic soda kepada syarikat minyak nasional itu dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini.

Kejadian kebakaran di tapak Rapid pada April 2019 menyebabkan penangguhan terhadap rancangan bekalannya tahun lalu selepas mendapat kontrak tiga tahun campur satu daripada Petronas.

Pengarah Urusan Kumpulan, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin dalam laporan tahunan terbaharu syarikat itu dikeluarkan baru-baru ini berkata, CCM juga menjangkakan kemudahan kilang chlor-alkali Pasir Gudang Works 1 (PGW1) akan beroperasi dengan kapasiti penuh pada awal 2021.

“Kemudahan ini sepatutnya diaktifkan semula pada suku ketiga tahun lalu, tetapi hanya mula diuji dan beroperasi pada Disember kerana syarat ketat yang dilaksnakan oleh pihak berkuasa.

“Ketika kita melangkah ke tahun kewangan 2020, kami berharap dapat meraih keuntungan daripada kontrak pembekalan caustic soda ke kemudahan RAPID Petronas. Kami merancang untuk memanfaatkan kontrak ini untuk memaksimumkan peluang dagangan kumpulan,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini, Malaysia menghasilkan lebih daripada 300,000 MT caustic soda setahun dengan CCM menyumbang sekitar 120,000 MT hingga 144,000 MT setahun untuk jumlah itu.

Katanya, walaupun terdapat permintaan dalam pasaran tempatan untuk caustik soda, penggiat di pasaran domestik tidak dapat memenuhi permintaan ini.

“Oleh itu, ada keperluan untuk mengimport caustic soda. Kami berada dalam kedudukan untuk melakukannya dengan berkesan berdasarkan pengalaman kami dan rangkaian hubungan yang luas,” katanya sambil menambah bahawa CCM menyasarkan untuk meningkatkan bahagian pasaran caustic soda daripada 40 peratus sekarang kepada 50 peratus pada masa depan.