CO-OPBANK Pertama (CBP) akan terus memperkukuh perniagaan perkhidmatan Ar-Rahnu miliknya dalam pelaksanaan pelan strategik perniagaan CBP termasuk dengan membuka cawangan khusus serta mewujudkan variasi bagi segmen perkhidmatan itu tidak lama lagi.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata, sejak perkhidmatan Ar-Rahnu diperkenalkan CBP pada 2015, nilai marhun (emas dalam simpanan) direkodkan mencecah RM500 juta setakat 31 Julai lalu.

Menurutnya, jumlah itu peningkatan berkali ganda yang dicatatkan saban tahun, sekali gus memberi isyarat jelas kepada CBP berhubung potensi pasaran luas untuk pembiayaan berkonsepkan Ar-Rahnu ini.

“Susulan permintaan menggalakkan, CBP merangka pelan strategik jangka panjang sehingga 2025.

“Ia meliputi pembukaan cawangan khusus bagi Ar-Rahnu supaya promosi dan capaian dapat dibuat dengan lebih berkesan.

“Realitinya, kemajuan perniagaan Ar-Rahnu yang sangat positif direkodkan sebelum ini membolehkan CBP membuka cawangan khusus Ar-Rahnu yang pertama dalam suku keempat 2020 bertempat di Setapak, Kuala Lumpur, setahun lebih awal daripada perancangan awal.

“Pada masa sama, kita dalam perancangan mewujudkan sub produk Ar-Rahnu dengan mengkategorikan pelanggan mengikut profil risiko berasaskan latar belakang mereka.

“Ini akan memberi kelebihan kepada pelanggan serta meminima risiko perniagan kepada CBP,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, setakat ini, kesemua 26 cawangan CBP menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu termasuk dua cawangan baharu bakal dibuka di Manjung, Perak dan Tawau, Sabah.

“Sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, RM166 juta nilai marhun direkodkan, menyamai nilai dicatatkan tahun lalu.

“Pada bulan lalu saja, perniagaan Ar-Rahnu kita merekodkan nilai marhun lebih RM40 juta, angka yang cukup tinggi dan tidak pernah direkodkan dalam tempoh sebulan sebelum ini.

“Mungkin ia dipengaruhi trend krisis Covid-19 apabila graf menunjukkan peningkatan berterusan dan konsisten sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada awal Mei lalu.

Katanya, perkembangan positif Ar-Rahnu secara tidak langsung menyumbang kepada kemampuan syarikat untuk pemilikan aset mencecah RM4.7 bilion setakat separuh pertama tahun ini berbanding RM1.4 bilion pada akhir 2014.

“Kita optimis pemilikan aset CBP boleh mencecah RM5.2 bilion menjelang hujung 2020 di mana pertumbuhan aset disasarkan tidak kurang 30 peratus setiap tahun,” katanya.

Perkhidmatan Ar-Rahnu CBP mengenakan kadar upah simpan serendah 60 sen dengan jumlah pembiayaan sehingga 75 peratus daripada nilai marhun atau maksimum RM200,000.