Kuala Lumpur: Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) Malaysia berharap kerajaan mengurangkan atau memberi subsidi duti setem bagi kontrak pembiayaan dan perjanjian sewa beli dalam Belanjawan 2021.

Demikian antara cadangan yang dikemukakan kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa sesi dialog anjuran Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dengan kerjasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), baru-baru ini.

Ahli-ahli ADFIM turut memohon peruntukan kerajaan bagi agenda pemerkasaan institusi berkenaan untuk membantu pembangunan jangka panjang usahawan dan individu yang terjejas akibat Covid-19 serta mempromosikan landskap ekonomi negara, kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Sesi dialog itu diadakan dengan matlamat utama untuk mengumpul informasi, bertukar pendapat serta mengemukakan cadangan daripada ahli ADFIM sebagai input pembentangan Bajet 2021 untuk pertimbangan Kementerian Kewangan bagi memastikan pemulihan ekonomi berada di landasan.

Acara itu dihadiri wakil pengurusan tertinggi beberapa DFI seperti Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia Bhd, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Export-Import Bank Malaysia.

Turut hadir wakil pengurusan tertinggi organisasi pembangunan usahawan seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad serta wakil Bank Negara Malaysia.