SISTEM pendidikan nasional boleh diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 namun menerusi pendekatan berbeza, demikian menurut Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari berkata, ia dapat dilakukan dengan memberi lebih kebebasan kepada pelajar mengikut kemampuan mereka berpandukan kurikulum digital yang boleh diakses oleh ibu bapa dan pelajar.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata, pendigitalan dalam bidang pendidikan mudah diperoleh berikutan banyak aplikasi sedia ada menggantikan persekolahan secara konvensional kepada kelas dalam talian.

“Mekanik pendidikan bermula dari rumah atau bekerja sambil menjaga anak kecil (susulan penutupan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak) masih tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Jelasnya, dengan penutupan sebahagian besar sistem persekolahan, kebergantungan kepada sistem pendidikan untuk mengajar anak kini beralih kepada ibu bapa.

“Masa diperuntukkan untuk mencari nafkah demi keluarga perlu dimanfaatkan semula dengan meneruskan proses pembelajaran kepada anak,” katanya.

Madani berkata, operasi pusat jagaan dihentikan sementara memaksa ibu menjalankan pelbagai tugas dalam satu masa untuk menjaga anak sambil menyiapkan tugasan daripada majikan.

Beliau menambah, ada yang berdepan situasi sukar apabila perlu hadir ke tempat kerja tanpa jaminan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak sewajarnya, sekali gus menimbulkan kesukaran kepada kakitangan wanita yang terbeban dengan tanggungjawab terhadap rumah tangga.

“Dalam hal ini, perisian produktiviti mungkin dapat memberikan potensi penyelesaian sekiranya ia diatur secara fleksibel untuk memenuhi pelbagai pola dan senario berdasarkan situasi dialami setiap keluarga,” katanya.

Menurut Madani, perisian pengurusan tugas dapat menetapkan jadual kerja yang kondusif di antara majikan dan pekerja mengikut kesesuaian golongan pencari nafkah.

“Ini bererti, aplikasi ini boleh menjadualkan mesyuarat, pengurusan tugas dan aktviti berkaitan kerja mengikut kesesuaian masa ibu bekerja apabila suami berada di rumah atau ketika anak yang lebih besar boleh menjaga adik,” katanya.

“Teknologi ini akan mengingatkan ibu bahawa ini adalah masa untuk menunaikan tugasan pejabat mereka,” katanya.

Secara kesimpulan, Madani berkata, bagi memerangi pandemik ini, negara perlu mencari jalan bagi memanfaatkan norma-norma baharu untuk kekal sihat, mampan dan relevan.

“Mengenai masa depan, satu daripada peranan utama MARii ialah menangani isu-isu kehidupan dan sumber pendapatan menerusi pelaksanaan teknologi digital.

“Kami yakin teknologi dapat memberikan penyelesaian baharu untuk mengimbangkan keperluan fizikal, emosi dan ekonomi dan berharap menerima maklum balas rakyat untuk membangunkan penyelesaian baharu dalam menghadapi norma baharu ini,” katanya.