Menurut penganalisis, momentum bulis telah ada dan dengan langkah-langkah pembetulan, indeks akan mempunyai peluang cerah untuk melantun semula meskipun situasi global COVID-19 belum ada sebarang petunjuk akan mereda. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum meningkatnya minggu depan pulih daripada penurunan yang dicatatkan pada minggu-minggu sebelumnya apabila corak berterusan trend itu jelas kelihatan.

Seorang penganalisis berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berjaya melepasi paras ketahanan segera pada 1,350, menunjukkan indeks utama itu boleh terus lagi meningkat.

"Corak berterusan dilihat menerusi aliran meningkat kukuh apabila indeks itu ditutup tinggi selama empat hari berturut-turut.

"Berikutan rangsangan daripada pakej rangsangan ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion yang diumumkan pada Jumaat, minat terhadap saham permodalan kecil dan sederhana dijangka meningkat," katanya.

Dari segi teknikal, paras sokongan minggu depan kini disasarkan pada 1,330 dengan paras ketahanan segera pada 1,370.

Beliau berkata pasaran ekuiti akan terus dipengaruhi oleh harga penanda aras minyak mentah.

"Bagaimanapun dengan harga semasa yang telah mencapai paras terendah, ia tidak akan banyak menjejaskan pasaran melainkan ia menjunam di bawah paras US$25 setong," katanya.

Pada penutup Jumaat, penanda aras minyak mentah Brent diniagakan pada US$28.16 setong.

Beliau berkata bagi minggu yang baru berakhir ini, aliran masuk bersih mengatasi aliran keluar bersih sebanyak kira-kira RM300 juta tetapi pasaran masih jauh lagi untuk pulih daripada penurunan sejak awal tahun ini.

"Sejak awal tahun ini, prestasi pasaran menjadi lemah semasa tempoh krisis politik, kejatuhan harga minyak dan wabak COVID-19 yang semakin memburuk. Berbilion ringgit dibawa keluar dari pasaran yang mencecah paras terendahnya dalam tempoh 88 bulan dengan lebih daripada RM150 bilion permodalan pasaran terhakis.

"Momentum bulis telah ada dan dengan langkah-langkah pembetulan diambil, indeks itu akan mempunyai peluang cerah untuk melantun semula meskipun situasi global COVID-19 yang belum ada sebarang petunjuk akan mereda," katanya.

Bagi minggu ini, kenaikan di Bursa Malaysia juga seiring dengan pasaran ASEAN lain apabila FTSE Asean 40 merekodkan prestasi kukuh, meningkat lebih daripada empat peratus untuk ditutup pada 7,581.14 mata.

Bagi prestasi Bursa Malaysia, kaunter kewangan mencatatkan peningkatan ketara, pulih daripada penurunan minggu sebelumnya untuk ditutup tinggi pada 483.43 mata, disokong oleh minat yang muncul semula terhadap saham mewah seperti Maybank dan Public Bank.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 39.81 mata kepada 1,343.09 daripada 1,303.28 minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 343.52 mata kepada 9,186.30, Indeks FBMT 100 naik 332.93 mata kepada 9,122.23 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 344.24 mata kepada 10,008.38.

FBM 70 meningkat 647.57 mata kepada 10,535.84 dan Indeks FBM ACE menokok 247.83 mata kepada 3,766.95.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 4.54 mata kepada 104.29 dan Indeks Perladangan naik 196.00 mata kepada 6,133.63.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 18.09 bilion unit bernilai RM12.32 bilion berbanding 21.61 bilion unit bernilai RM17.35 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 13.46 bilion saham bernilai RM11.34 bilion berbanding 16.73 bilion saham bernilai RM16.46 bilion.

Jumlah dagangan waran susut sedikit kepada 1.65 bilion unit bernilai RM414.24 juta berbanding 1.68 bilion unit bernilai RM353.34 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 2.90 bilion saham berbanding 3.18 bilion saham pada minggu sebelumnya tetapi nilai urus niaga meningkat kepada RM563.77 juta daripada RM539.26 juta sebelumnya.

— BERNAMA