PEMBANGUNAN Bandar Malaysia akan meningkatkan perniagaan di semua sektor kerana ia akan menjadi hab kepada syarikat tempatan dan antarabangsa, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pelaburan itu juga bukti keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia dan akan memberi kesan berganda kepada ekonomi Malaysia.

“Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM140 bilion, ia akan menjadi pembangunan terbesar seumpamanya di Malaysia.

“Projek ini akan membuka potensi besar kepada perniagaan global terhadap negara, sejajar dengan visi kerajaan untuk memastikan kesejahteraan untuk semua,” katanya pada majlis penyerahan cek daripada IWH-CREC Sdn Bhd bernilai RM1.24 bilion kepada TRX City Sdn Bhd, kelmarin.

Di bawah perjanjian itu yang menandakan bermulanya pembangunan Bandar Malaysia, IWH-CREC akan mengambil alih 60 peratus kepentingan di Bandar Malaysia Sdn Bhd, pemaju utama projek itu daripada TRX City dan baki selebihnya 40 peratus dipegang oleh TRX City.

Tengku Zafrul berkata, walaupun negara menghadapi cabaran kerana pandemik Covid-19, keyakinan pasaran tetap teguh terutama dari pelabur asing kerana ia menarik RM23.1 bilion di pasaran bon hingga Ogos.

“Ringgit juga muncul sebagai salah satu mata wang paling kukuh di Asia Tenggara dipacu oleh inisiatif secara berterusan kerajaan dalam menangani Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, projek itu menandakan hubungan dua hala yang teguh antara China dan Malaysia.

“Ini salah satu projek terbesar yang dilaburkan oleh syarikat dari China di Malaysia dan juga memberi harapan besar kepada kedua-dua negara serta di seluruh dunia,” katanya.
– Bernama