AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyarankan mereka yang menerima lebihan wang daripada moratorium untuk menyalurkannya ke dalam tabung khas.

Ketua Cawangan AKPK Terengganu, Junainah Ahmad Esa berkata, hal ini bagi memastikan wang lebihan itu dapat diuruskan dengan baik dan digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat pada masa akan datang.

Katanya, pada situasi sukar ketika ini, penting bagi mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghadapi kecemasan dan ketidaktentuan.

“Keterujaan masyarakat mengenai moratorium dapat dilihat sehingga ada yang menyamakannya seperti pakej ‘percutian’ iaitu cuti daripada membayar hutang.

“Namun awas moratorium ini memberi kesan kepada pinjaman.

“Salah satu impak moratorium adalah pertambahan faedah pinjaman.

“Jumlah pertambahan faedah ini, antara lain, bergantung kepada baki hutang, tempoh pinjaman dan kadar faedah sedia ada dan semasa,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, peminjam juga dinasihatkan untuk berhubung dengan institusi kewangan masing-masing bagi mengetahui lebih lanjut mengenai jumlah tambahan yang terpaksa mereka tanggung sekiranya menerima moratorium ini.

Di samping itu katanya, tempoh bayaran balik hutang menjadi lebih panjang dan peminjam juga berkemungkinan membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi di kemudian hari bagi menampung bayaran yang ditangguhkan sepanjang tempoh moratorium.