Penangguhan bayaran selama enam bulan bagi pinjaman atau pembiayaan dengan institusi kewangan bergantung kepada tahap kewangan setiap individu.

Ini kerana ada individu yang disarankan memanfaatkan moratorium ditawarkan dan ada individu yang perlu meneruskan komitmen bulanan mereka.

Penulis kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, mereka yang dikategorikan sebagai ‘wajib’ mengambil moratorium itu adalah dalam kalangan yang tiada dana kecemasan dengan jumlah enam bulan gaji semasa.

“Mereka yang mempunyai pekerjaan kurang stabil seperti pekerja berstatus kontrak atau sambilan dan mereka yang bekerja dengan syarikat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 sejak Januari lalu lagi antara yang digalakkan memanfaatkan penangguhan bayaran ini.

“Selain itu, mereka yang diberhentikan kerja atau bekerja dengan gaji harian, mingguan atau berdasarkan projek dan kontrak juga digalakkan mengambil peluang ini,” katanya.

Menurutnya, mereka yang mempunyai jaminan kerja seperti penjawat awam seharusnya meneruskan komitmen bulanan mereka seperti biasa.

“Jika masih menerima gaji seperti biasa seeloknya teruskan pembayaran kerana ini hanya penangguhan dan bukan pembatalan.

“Lambat-laun hutang berkenaan tetap perlu diselesaikan,” katanya.

Katanya, setiap individu perlu membuat analisis atau andaian mengenai masa depan kerjaya masing-masing bagi memastikan persediaan rapi boleh dibuat.

“Jika pekerjaan tidak stabil dan keadaan syarikat tidak kukuh, maka wujud keberangkalian gaji dipotong.

“Maka, mereka seharusnya memikirkan untuk memanfaatkan penangguhan ini.

“Malah, mereka yang tiada langsung simpanan kecemasan patut mengambil peluang ini,” katanya.

Menurutnya, simpanan kecemasan seharusnya sama jumlah dengan enam bulan gaji semasa.

Sebagai contoh, sekiranya berpendapatan RM2,000 sebulan, maka simpanan kecemasan yang perlu ada ialah RM12,000.

Menurutnya, apa yang paling utama adalah manfaatkan penangguhan bayaran pembiayaan bank ini untuk bina dana kecemasan.

“Gunakan duit yang ada untuk pembelian makanan dan perubatan. Buat yang mahu mencuba melabur, ini bukan masa yang tepat.

“Berhati-hati juga dengan penipuan yang banyak muncul saat ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya peluang ini juga perlu diambil untuk mengurangkan bebanan hutang sedia ada.

“Mereka yang ada hutang kad kredit boleh menggunakan penangguhan pembiayaan rumah dan kereta untuk menyelesaikan hutang kad kredit kerana kadar faedah hutang ini tinggi sekitar 12 hingga 18 peratus.

“Jika ia dapat diselesaikan segera, maka bebanan hutang semakin berkurangan,” katanya.