Putrajaya: Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tenaga Lestari (Seda) Malaysia akan membuka permohonan bagi kuota Tarif Galakan (FiT) sebanyak 188 Megawatt (MW) untuk sumber biogas, mini hidro dan biojisim di Semenanjung Malaysia bermula Jun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah yang ditawarkan, 32MW diperuntukkan untuk sumber biogas, 126MW sumber mini hidro dan 30MW bagi sumber biojisim.

“Semua kuota FiT ini boleh dipohon secara bidaan dalam talian (e-bida) melalui laman sesawang SEDA Malaysia, www.seda.gov.my, bermula 1 Jun ini untuk biogas, 8 Jun untuk mini hidro dan 22 Jun untuk biojisim,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Shamsul Anuar berkata, penawaran kuota FiT baharu itu berupaya menjana pelaburan sebanyak RM1.5 bilion dan mewujudkan sebanyak 600 peluang pekerjaan dalam industri Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Beliau berkata projek yang bakal diluluskan itu akan mula menjana dan membekalkan elektrik mulai pertengahan 2024.

“Apabila penjanaan elektrik mula diguna pakai pada 2024, secara sendirinya ia dapat meningkatkan kebolehupayaan elektrik di seluruh negara terutama dalam sektor TBB. Secara tidak langsung bekalan elektrik kita diharap akan lebih stabil dan rakyat juga akan mendapat manfaatnya,” katanya.

Menurut Shamsul Anuar, permohonan kuota FiT yang dilaksanakan secara e-bida mula diperkenalkan pada 2018 bagi sumber biogas sebelum diperluaskan bagi sumber mini hidro pada 2019 dan sumber biojisim pada tahun ini.

Beliau berkata, pelaksanaan e-bida bertujuan memastikan supaya kuota FiT diluluskan kepada pembida dengan tawaran tarif terendah.

“Pendekatan ini membolehkan dana Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu dioptimumkan, seterusnya lebih banyak kuota FiT boleh ditawarkan kepada syarikat pemaju TBB,” katanya.

Shamsul Anuar berkata, tawaran permohonan kuota FiT itu terbuka kepada semua syarikat yang berdaftar dengan Seda Malaysia, namun menggalakkan syarikat tempatan mengambil peluang ini.

Beliau berkata, sejak program FiT diperkenalkan pada 2011, kuota 1,394MW diluluskan bagi semua sumber TBB membabitkan 10,476 projek di seluruh negara. Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga sedang mengkaji alternatif lain yang lebih berdaya maju untuk melaksanakan projek TBB di Sabah.

“Kajian sedang dilakukan untuk membolehkan projek TBB dilaksanakan di sana dan buat masa ini kami masih teruskan projek-projek lama yang masih berjalan di Sabah, maksudnya tidak ada program seumpama ini (FiT) dibuat di Sabah,” katanya.