Kuala Lumpur: Boost menjalin kerjasama strategik dengan Setel bagi membawa pengalaman mengisi minyak dan berbelanja yang lancar kepada pelanggan Petronas.

Kerjasama ini bukan saja memperluas portfolio Transport & Transit Boost tetapi merintis skop saling boleh kendali antara kedua-dua platform, di mana Setel akan diintegrasikan sepenuhnya dengan aplikasi Boost.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, pengguna boleh mengakses Setel secara langsung melalui Boost dan membeli minyak dari peranti mudah alih tanpa meninggalkan kenderaan.

Katanya, pengguna juga boleh menerima mata ganjaran Mesra untuk setiap transaksi di stesen Petronas, sekali gus menerima ganjaran dua kali ganda apabila membayar dengan Boost.

“Boost sentiasa mencari peluang untuk merubah status quo dan mendigitasikan urusan harian terutama apabila pelancongan domestik semakin popular dan ramai menggunakan pengangkutan jalan.

“Kami ingin memenuhi keperluan rakyat untuk cara lebih selamat dan pantas mengisi minyak sepanjang perjalanan.

“Kerjasama baharu ini bakal meningkatkan ciri saling boleh kendali antara kedua-dua platform, sekali gus membina ekosistem tanpa tunai yang dinamik serta mencerminkan masyarakat pintar digital,” katanya dalam kenyataan.

Bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2020, Boost dan Setel akan memberikan 10 peratus pulangan tunai terhad kepada RM5 untuk perbelanjaan minimum RM30.

Pulangan tunai ditawarkan kepada 200,000 pelanggan baharu Setel yang melakukan transaksi pertama melalui Boost di stesen Petronas yang menawarkan perkhidmatan Setel.

Pulangan tunai yang diterima akan dikredit secara automatik ke dalam Partner Wallet di akaun pengguna Boost dalam tempoh tujuh hari.

Sebarang pulangan tunai di dalam Partner Wallet akan dipotong secara automatik dengan perbelanjaan minimum RM20 pada kunjungan seterusnya di stesen Petronas yang menawarkan perkhidmatan Setel.