JENAMA e-dompet tempatan, Boost komited untuk memudah cara pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Mikro (PKSM) melalui kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk Kempen e-Dagang PKSM, sekali gus membantu perniagaan pulih dan menghadapi norma baharu.

Sepanjang tempoh kempen hingga 30 September, pedagang yang turut serta berpeluang menerima ganjaran dan manfaat bernilai RM1,500.

Boost akan membantu pedagang mendigitasi dan bergerak luar-ke-dalam talian dengan menyediakan katalog e-dagang tersendiri dan diintegrasikan dengan ciri Boost Payment Link untuk pengalaman hujung ke hujung dalam talian yang lancar.

Langkah ini dijangka memandu perniagaan kepada pertumbuhan dan produktiviti lebih tinggi selain manfaat sampingan berbentuk bantuan pengiklanan dan promosi oleh Boost serta kos permulaan sifar.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, ciri itu membolehkan peniaga memaparkan produk yang dapat dilihat pembeli dengan mudah, membuat pesanan, melakukan bayaran dengan pantas dan mudah melalui App Boost.

“Langkah ini menjadi tunjang transformasi di mana peniaga boleh menyesuaikan model perniagaan sedia ada dan meraih manfaat seperti yang dilihat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Boost Payment Link adalah inovasi baharu untuk membolehkan peniaga menerima bayaran melalui emel, SMS atau WhatsApp.

“Kami gembira dapat menghulurkan kepakaran dalam rangka inisiatif kerajaan dan MDEC yang bakal memberi PKSM akses kepada solusi digital inovatif.

“Ini kelak membantu objektif Penjana untuk menaikkan tahap ekonomi. Sejak pandemik melanda, lebih banyak perniagaan kecil dan individu mengakui manfaat bergiat dalam talian manakala kami, dengan bilangan pengguna seramai 8.3 juta setakat ini, berhasrat memperkenalkan perniagaan terbabit kepada pengguna yang rancak bertambah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, Boost turut menawarkan perkhidmatan kewangan digital seperti pembiayaan mikro sebagai bantuan tambahan kepada PKSM dalam membina semula perniagaan.

“Pemilik perniagaan juga dapat melindungi perniagaan dengan produk insurans PKSM kami yang bakal dilancarkan.

“Mereka boleh memohon pembiayaan mikro sehingga RM20,000 melalui rakan kerja kami Aspirasi, penyedia pembiayaan digital, tanpa bayaran balik untuk enam bulan pertama melalui Aspirasi Assist.

“Dengan kewujudan pembiayaan mikro mampu milik dan mudah akses, perniagaan dapat menumpukan usaha kepada memulakan semula operasi ketika norma baharu berbekalkan keanjalan kewangan,” katanya.