Platform e-dompet tempatan, Boost mengumumkan pengenalan Tabung Covid-19 by Boost, dana sumbangan membantu meringankan beban mereka yang secara langsung terjejas oleh pandemik Covid-19 di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah berkata, Tabung Covid-19 by Boost diwujudkan supaya rakyat Malaysia dapat menyalurkan bantuan mereka dengan mudah melalui e-dompet dan Boost kemudiannya akan mengagihkan dana itu kepada penerima yang sesuai dalam memerangi virus berkenaan.

Katanya, dana itu diperkenal sempena pelancaran kempen #BoostGotYou yang bertujuan membantu rakyat Malaysia melalui krisis semasa yang membawa kepada kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumbangan yang diterima akan membawa bantuan diperlukan kepada ekosistem penjagaan kesihatan negara yang akan disalurkan terus kepada dana Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ada ramai wira tak didendang dalam profesion perubatan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah dan mendahulukan orang lain berbanding diri mereka.

“Malah, ada keluarga yang menjadi mangsa kepada virus itu.

“Setiap hari semua orang menghadapi cabaran baharu dan kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyertai kami dalam usaha menyokong dan membantu barisan hadapan kita yang memastikan kita selamat dan keluarga mangsa melalui dana ini,” katanya.

Menurutnya, semua dana diterima mulai sekarang hingga 31 Mac 2020 disalurkan kepada KKM manakala dana diterima bermula 1 hingga 30 April 2020 akan diagihkan antara KKM dan NGO berkaitan.