KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) memperuntukkan RM452.8 juta bagi membantu usahawan terjejas melalui pelan pemulihan operasi perniagaan bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan.

Peruntukan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 21,847 penerima merangkumi usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan sosial, pemula niaga dan koperasi.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Medac sudah membentangkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Mei lalu.

“Pelan Pemulihan itu menggariskan enam strategi utama bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan usahawan dalam tempoh segera dan memastikan usahawan kekal berdaya saing dan mampan.

“Ia mengandungi 30 program yang akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka masa pendek bermula Mei hingga Disember 2020 dan jangka masa sederhana bermula Januari 2021 hingga Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, bagi fasa pertama, sejumlah RM230.1 juta peruntukan diperlukan, RM175.79 juta adalah bagi melaksanakan enam program baharu dan 10 program sedia ada yang akan menggunakan peruntukan sedia ada Medac dan agensi-agensinya.

Sejumlah RM54.31 juta peruntukan tambahan diperlukan bagi melaksanakan 14 program baharu.

Menurutnya, bagi fasa kedua, sejumlah RM222.69 juta peruntukan diperlukan merangkumi 19 program baharu dan 11 program sedia ada.

“Permohonan peruntukan itu telah dikemukakan oleh Medac dan agensi-agensi di bawahnya kepada Unit Perancang Ekonomi melalui permohonan peruntukan di bawah tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kami juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dalam pembangunan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19.

“Medac adalah ahli dalam Kumpulan Kerja SME Recovery Support dengan tumpuan kepada strategi dan inisiatif jangka pendek dan sederhana bagi memulihkan usahawan yang terjejas dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, katanya pada 8 Mei lalu, Medac turut mengemukakan cadangan program keusahawanan Pelan Restart dengan peruntukan sebanyak RM261.21 juta.

“Inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan bagi memastikan rakyat khususnya golongan usahawan sentiasa mendapat sokongan daripada Medac supaya urusan perniagaan mereka dapat beroperasi seperti biasa ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.