BANK Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.50 peratus kepada 2.00 peratus.

Ini menjadikan kadar siling dan lantai bagi koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus, kata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu yang bermesyuarat hari ini.

BNM berkata, persekitaran ekonomi global menjadi bertambah lemah secara mendadak dan langkah-langkah untuk membendung pandemik Covid-19 telah menjejaskan kegiatan ekonomi di kebanyakan negara.

“Penunjuk terkini memaparkan bahawa ekonomi global telah pun menguncup, dengan pertumbuhan global diunjurkan menjadi negatif pada tahun ini.

“Keadaan kewangan juga semakin ketat dalam keadaan peningkatan penghindaran risiko serta ketidakpastian. Langkah yang diambil oleh banyak negara untuk melaksanakan pelbagai rangsangan dasar disamping pelonggaran yang beransur-ansur terhadap langkah pembendungan di seluruh dunia akan mengurangkan sebahagian daripada impak Covid-19 ke atas ekonomi.

“Prospek pertumbuhan akan bertambah baik pada tahun 2021 berdasarkan jangkaan bahawa pandemik ini dapat dibendung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan keputusan yang dibuat BNM itu hari ini, OPR telah dikurangkan sebanyak 100 mata asas untuk menyokong langkah-langkah monetari dan kewangan BNM yang lain serta langkah-langkah fiskal pada tahun ini.

Kesemua langkah ini akan mengurangkan kesan ekonomi ke atas sektor perniagaan dan isi rumah serta menyokong kegiatan ekonomi untuk menjadi bertambah baik.