BANK Negara Malaysia (BNM) kesal atas sebarang kekeliruan dan kebimbangan yang timbul ekoran pengumuman yang dibuat semalam.

BNM dalam kenyataan berkata, penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan sebenarnya bertujuan membantu aliran tunai peminjam yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, tujuan itu masih tidak berubah.

“Kekeliruan yang timbul adalah disebabkan oleh salah tanggapan bahawa jumlah bayaran balik sesuatu pinjaman Sewa Beli tidak boleh diubah.

“Salah tanggapan ini juga sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang kami tunjukkan dalam versi awal soalan lazim (FAQ) ini, yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat.

“Kami kemudiannya mengeluarkan contoh pengiraan itu daripada FAQ ini apabila institusi kewangan menyediakan contoh pengiraan mereka.

“Ilustrasi yang kami tunjukkan bukan bertujuan untuk ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru (yang diambil kira) kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik,” katanya.

Menurutnya, peminjam yang akaun pinjaman Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap mereka menunjukkan penangguhan bayaran balik secara automatik sejak 1 April 2020, akan terus mendapat penangguhan itu sehingga 30 September 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan