Selain itu, rejim pendaftaran akan diperkenalkan untuk mengawal selia pihak pemproses mata wang yang perlu turut mematuhi piawaian berkaitan.

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan keperluan ketetapan dalam Akta Mata Wang 2020 yang melibatkan pelaksanaan rejim pendaftaran untuk mengawal selia pihak pemproses mata wang.

BNM berkata terdapat beberapa peruntukan penting Akta Mata Wang 2020 termasuk had transaksi tunai yang boleh ditetapkan untuk melarang transaksi dalam jumlah besar manakala had sah laku bagi duit syiling ditetapkan pada 25 keping.

"Penerima boleh menolak pembayaran yang menggunakan duit syiling melebihi 25 keping. Tiada sesiapa pun dibenarkan untuk melebur duit syiling dengan niat untuk mendapatkan keuntungan," katanya di dalam Laporan Tahunan 2019 BNM yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, rejim pendaftaran akan diperkenalkan untuk mengawal selia pihak pemproses mata wang yang perlu turut mematuhi piawaian berkaitan bagi memastikan kualiti serta integriti mata wang dalam edaran (CIC) adalah tinggi.

Menurut bank pusat itu, mata wang fizikal juga terus digunakan secara meluas dalam ekonomi Malaysia dengan sejumlah RM114.1 bilion wang kertas dan duit syiling berada dalam edaran pada akhir 2019.

Pada 2019, CIC meningkat pada kadar 3.6 peratus iaitu pertumbuhan lebih rendah berbanding purata lima tahun sebanyak 7.9 peratus.

Bagaimana pun, kadar CIC berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar adalah sekitar 6.5 peratus hingga 7.0 peratus sejak lima tahun lepas.

"Walaupun CIC Malaysia dijangka terus meningkat sejajar dengan pertumbuhan ekonomi, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan pertumbuhannya semakin berkurangan ekoran peningkatan penggunaan pembayaran secara eletronik bagi semua transaksi ekonomi."

BNM juga bertindak menjaga integriti ringgit terhadap wang kertas dan duit syiling palsu.

Dalam pada itu, sejajar operasi mata wang, BNM juga berusaha memastikan kos operasi kekal rendah dengan mengutamakan pengagihan wang kertas bersesuaian untuk edaran.

Langkah ini diambil memandangkan kos untuk memproses wang kertas sedia ada adalah jauh lebih rendah berbanding mengeluarkan wang kertas baharu.

— BERNAMA