Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) memperkenalkan kemudahan bayaran zakat fitrah melalui Kod Respon Pantas atau Quick Response Code (kod QR) untuk semua umat Islam sempena Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamaruddin berkata, penambahbaikan kemudahan berkenaan menepati kecenderungan masyarakat terhadap penggunaan teknologi dan pembayaran melalui kod QR selain memudahkan pembayaran zakat meskipun kekal berada di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menerusi pembayaran zakat fitrah melalui kod QR, pelanggan bank dan rakyat Malaysia secara amnya dapat memenuhi tuntutan rukun Islam keempat melalui platform tanpa tunai dengan mudah dan cepat.

“Pelanggan hanya perlu mengimbas telefon bimbit mereka pada DuitNow QR Bank Muamalat di laman sesawang Zakat Negeri untuk melengkapkan transaksi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Khairul berkata, kod QR itu akan turut dihebahkan kepada pembayar zakat negeri masing-masing menerusi media sosial seperti WhatsApp dan Facebook.

KHAIRUL
KHAIRUL

Katanya, kemudahan DuitNow QR yang diperkenalkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu juga berfungsi sebagai kesalingbolehoperasian antara e-dompet dan bank berlesen.

“Bank Muamalat juga berhasrat untuk meluaskan inisiatif e-Zakat ke seluruh negara dalam usaha mengembangkan platform ini,” katanya.

Sementara itu, Khairul berkata, inisiatif bayaran zakat fitrah melalui DuitNow QR adalah hasil kerjasama erat dengan empat Majlis Agama Islam Negeri (Main) iaitu Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.