Shah Alam: Bliese (M) Sdn Bhd optimis untuk meletakkan sasaran jualan sebanyak 500,000 botol bagi produk penyegar udaranya, wangian penutup kayu di bawah jenama Bliese, menjelang tahun depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Saiful berkata, setakat ini pihaknya menjual 200,000 botol sebulan menerusi stokis dan pengedar di seluruh negara.

Menurutnya, sasaran syarikat amat realistik dan mampu dicapai menerusi Kempen Gerila Haruman yang sudah bermula.

“Kempen itu bertujuan menggalakkan pengedar menempatkan produk Bliese di pasaran runcit fizikal secara lebih meluas, sekali gus menambah pendapatan mereka melalui penjualan produk berkenaan.

“Sebelum ini, pengedar hanya memasarkan produk secara langsung kepada pengguna dan ada beberapa pengedar yang meletakkan produk di kedai runcit, namun ia hanya dalam bilangan kecil.

“Buat masa ini kita mempunyai 60 stokis utama dan 6,500 orang pengedar di seluruh Malaysia, termasuk ibu tunggal bagi membantu mereka dalam mencari pendapatan sampingan. Kita menyasarkan pertumbuhan sebanyak 60 peratus jumlah pengedar menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Suhaimi berkata, pihaknya ketika ini mempunyai lima kedai fizikal Bliese di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kempen berkenaan yang dirancang dijalankan enam bulan itu akan diteruskan sehingga tahun depan sekiranya mendapat permintaan memberangsangkan.

Selain itu, beliau berkata, Bliese juga tampil dengan produk wangian terbaharu bagi produk penutup kayu iaitu tropical buffet, morning gates, forest musk, cherry ellison dan love page menjadikan keseluruhan ada 15 jenis wangian bagi produk terbabit.

“Kami bercadang menambah wangian baharu pada Ramadan ini yang memfokuskan bauan untuk mengubat kerinduan umat Islam kepada suasana di Makkah dan Madinah,” katanya.