Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) membuka ruang kepada perniagaan industri francais yang berpotensi untuk dimajukan menerusi latihan dan konsultansi selain menyediakan bantuan pembiayaan.

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dalam kenyataan berkata, PNS menerusi Program BizFrancais yang dianjurkan di Sabah memberi tumpuan terhadap perkembangan ekonomi mikro untuk dikembangkan ke peringkat lebih luas menerusi industri francais.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, BizFrancais menjadi usaha sama yang positif bagi memperkasakan kedudukan usahawan setempat menerusi peningkatan kesedaran mengenai industri francais.

Katanya, industri francais mampu membantu usahawan untuk menaik taraf sosioekonomi khususnya melalui program Tranformasi Dalam Perniagaan (BIT) bagi memberi galakan usahawan mengembangkan perniagaan mereka menerusi industri itu.