KEMENTERIAN Kewangan bersama dengan Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri memulakan sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan pelbagai industri dan sektor untuk mendapatkan maklum balas berkaitan dalam usaha memulih dan membangunkan ekonomi negara.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan merangka pelan pemulihan ekonomi jangka pendek, sederhana dan panjang menyeluruh yang bertujuan memastikan aktiviti ekonomi dapat dipulihkan semula dengan pantas selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Strategi pemulihan dan pembangunan ekonomi ini akan dibentangkan untuk pertimbangan Majlis Tindakan Ekonomi dan juga Kabinet dalam masa terdekat.

“Dalam masa terdekat, tumpuan Kementerian Kewangan adalah kepada usaha jangka pendek dan sederhana yang perlu diambil dalam tempoh PKP dan selepas tamatnya PKP demi memastikan kelangsungan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

TengkuZafrul berkata, kerajaan merangka strategi jangka panjang merangkumi langkah melestarikan teras ekonomi, alam, dan sosial Malaysia dengan teknologi digital akan memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian dan daya saing negara pada masa hadapan.

Menurutnya, antara objektif disasarkan untuk membina keupayaan perniagaan dan individu, menanamkan keyakinan dalam kalangan pengguna serta memperkasakan persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan.

Beliau berkata, cadangan pelan pemulihan ekonomi itu menjadi penghubung dan pelengkap kepada pelbagai pakej rangsangan ekonomi diumum kerajaan sebelum ini untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Kementerian Kewangan sedia maklum akan cabaran normal baharu yang bakal dihadapi dalam keadaan persekitaran dunia pasca Covid-19,” katanya.