MEDIA Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelancaran perkhidmatan baharu yang

memaparkan kandungan berita pada skrin besar untuk orang ramai di sekitar Lembah Klang dikenali sebagai BIG News by NSTP.

Ia adalah perkhidmatan digital terbaharu Media Prima yang memaparkan tajuk berita secara ‘live’ daripada The New Straits Times Press (NSTP) melalui skrin pengiklanan digital luar rumah

(OOH) Kumpulan.

Pengarah Urusan Kumpulan Prima Media, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, tajuk berita utama yang terkini akan diambil melalui ‘Berita Paling Banyak Dibaca’ daripada NST Online dan BH Online.

“Ia juga akan dikemas kini secara berkala di lokasi terpilih antara jam 7 pagi sehingga 7 malam setiap hari.

“Setakat ini, perkhidmatan ini disediakan di tujuh lokasi di Kuala Lumpur, dengan perancangan untuk diperluaskan melalui skrin-skrin di sepanjang Monorel KL, LRT Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang, menjadikan jumlah keseluruhan 23 skrin,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pelancaran BIG News ini adalah kerjasama antara NSTP dan Big Tree, sejajar dengan strategi Kumpulan untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat terkini di mana-mana saja dan pada bila-bila masa.

NSTP dikenali dengan penerbitan beberapa akhbar tertua dan paling dipercayai di Malaysia, dalam bentuk surat khabar dan dalam talian.

Big Tree pula adalah peneraju pasaran industri OOH Malaysia dengan jangkauan pengiklanan terbesar melalui pelbagai platform media bersepadu dan inventori yang meluas dalam berbagai saluran.

Katanya, pihaknya sentiasa mencari kaedah kreatif dan berkesan untuk berkongsi kandungan dengan audiens dan juga memperkenalkan perkhidmatan baru kepada rakan-rakan niaga.

“Apabila kita kembali kepada rutin dan menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu, OOH digital adalah medium yang sangat efektif untuk menjangkau orang ramai.

“Dengan pelancaran BIG News by NSTP, anda tidak perlu berada dalam bangunan atau memeriksa telefon bimbit untuk mendapatkan berita terkini daripada sumber NSTP yang sahih.

“Tajuk berita utama akan dipaparkan kepada pengguna dan penumpang kenderaan di Lembah Kelang

yang berada dalam perjalanan melalui tiga kali selang masa pada waktu puncak.

“Kami juga akan menerokai pelbagai alternatif untuk pengiklan menggunakan khidmat kami melalui kandungan tajaan.

“Ini menunjukkan keupayaan Media Prima sebagai kumpulan media bersepadu yang

menyediakan perkhidmatan unik kepada audiens dan penyelesaian media secara total kepada pengiklan,” katanya.