GRAB Malaysia merangka tiga pendekatan bagi membantu perniagaan tempatan khususnya syarikat kecil bebas serta penjaja yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, syarikat multinasional e-panggilan itu akan memulakan program Grab Small-Biz Relief (Bantuan Peniaga Kecil Grab) atau GSR.

Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, program berkenaan bertujuan memberi sokongan kewangan sehingga RM3,000 kepada setiap perniagaan kecil GrabFood dan komisen sifar bagi semua pembayaran digital menerusi WhatsApp, Facebook atau pesanan telefon dan pengambilan secara sendiri.

“Kami akan turut melancarkan kempen Wira Tempatan bagi meningkatkan kesedaran mengenai peniaga terbabit di serata saluran digital. Kempen bermula 1 April itu diharapkan dapat menyemarakkan lagi kesedaran terhadap restoran kecil dan bebas di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat terbabit turut menawarkan dua saluran alternatif baharu bagi membantu peniaga memenuhi permintaan pada kadar komisen sifar peratus.

“Pertama, kami akan menghantar pautan GrabPay untuk setiap peniaga atau pedagang yang layak agar mereka dapat menerima bayaran langsung melalui (laman) sembang, secara percuma dan bagi pesanan menerusi WhatsApp, Facebook atau telefon. Pada masa sama mereka turut meraih mata ganjaran GrabRewards.

“Kedua, bagi pesanan GrabFood, kami akan mengecualikan semua komisen jika pelanggan mengambil sendiri barangan terbabit. Adalah diharapkan dengan langkah-langkah ini kami dapat memberi sedikit sokongan kepada perniagaan tempatan,” katanya.