Serdang: Pengurangan harga barang keperluan harian dan cukai pendapatan individu antara langkah jangka panjang yang mampu meringankan beban rakyat ketika ini.

Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azali Mohamed berkata, kerajaan boleh berbincang dengan pemilik pasar raya besar bagi menurunkan harga barang basah untuk membantu meringankan beban rakyat.

Katanya, sekiranya harga barangan seperti ayam, bawang, sayur dikurangkan 20 peratus sedikit sebanyak dapat menjimatkan wang rakyat.

“Kerajaan boleh berbincang dengan syarikat pasar raya besar mengenai perkara ini seterusnya mendapatkan kerjasama mereka untuk menurunkan harga barang.

“Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 bermanfaat serta sesuai dengan keadaan negara sekarang terutama kepada kumpulan sasaran yang terkesan akibat Covid-19, namun bersifat sementara. Justeru, langkah lebih panjang perlu dijalankan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai inisiatif dan bantuan khusus di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Sambil menyatakan rakyat memerlukan inisiatif seumpama itu, Dr Azali menegaskan kini masa tepat untuk membantu mengurangkan beban rakyat terutama apabila berdepan kesan wabak Covid-19.

Beliau berkata, penurunan cukai pendapatan individu sebanyak dua hingga tiga peratus pula menggalakkan aliran tunai seterusnya merancakkan ekonomi domestik.

“Penurunan ini bukan untuk setahun, tetapi mungkin boleh dimulakan dengan percukaian dari Jun hingga Disember tahun ini.

“Pendapatan negara sedikit berkurangan, tetapi langkah ini membolehkan rakyat ada duit lebih untuk berbelanja dan cara ini juga mampu menaikkan ekonomi tempatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19