Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia menyimpan hasrat untuk mengembara dalam kumpulan kecil bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati percutian lebih santai dan meneroka destinasi alam semula jadi di luar kebiasaan.

Berdasarkan Tinjauan Trend Percutian Airbnb 2021 dengan firma analisis data global YouGov, ia mendapati percutian bersama keluarga terdekat muncul sebagai faktor nombor satu bagi perjalanan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengurus Besar untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan di Airbnb, Amanpreet Bajaj berkata, pandemik dilihat mengukuhkan ikatan kekeluargaan di tengah-tengah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 82 peratus daripada semua responden berasa lebih rapat dengan keluarga mereka.

“Hampir 60 peratus pula berkata, mereka merancang meluangkan masa dengan keluarga terdekat untuk percutian pertama mereka, diikuti dengan rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, harga berpatutan (72 peratus) dan protokol kesihatan dan keselamatan (44 peratus) muncul sebagai pertimbangan utama bagi responden apabila memilih destinasi percutian dan penginapan, diikuti dengan ruang yang mencukupi untuk menampung sekumpulan rakan atau keluarga (33 peratus).

“Pengembara juga lebih berjimat cermat tahun ini kerana lebih separuh daripada responden menjangkakan untuk membelanjakan kurang daripada RM2,000 dalam perbelanjaan percutian,” katanya.

Menurutnya, percutian alam semula jadi berkemungkinan besar akan mendapat perhatian pada tahun ini dengan responden menunjukkan bahawa berada dekat dengan alam semula jadi adalah kriteria nombor satu mereka dalam menentukan destinasi pilihan.

“Apabila ditanya sama ada mereka menjangkakan sebarang perubahan ketara dalam pilihan perjalanan selepas pandemik, lebih separuh daripada semua responden berkata mereka mahukan percutian yang lebih santai dalam kumpulan lebih kecil, dan mengembara ke destinasi kurang sesak dan kurang popular,” katanya.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan membabitkan 1,140 rakyat Malaysia pada Februari lalu, Pulau Pinang muncul sebagai destinasi paling popular tahun ini dalam kalangan responden diikuti Sabah, Kuala Lumpur, Terengganu dan Johor.

“Kami percaya bahawa sektor pelancongan mudah pulih dan akan bangkit semula sebaik saja tempoh sekatan tamat.

“Industri pelancongan akan kelihatan berbeza berbanding sebelum pandemik kerana rakyat Malaysia mula mencari percutian lebih peribadi dan bermakna untuk berhubung semula dengan orang tersayang,” katanya.

Tahun lalu, laporan Oxford Economics bertajuk Impak Ekonomi Airbnb di Malaysia mendapati bahawa Airbnb adalah tunjang berharga bagi industri pelancongan tempatan pada 2019, dengan menyumbang sebanyak RM3.98 bilion kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Malaysia dan menyediakan lebih 52,100 pekerjaan tempatan di Malaysia saja.