LAZADA Malaysia akan membawakan kelainan dalam Jualan Pertengahan Tahun 7.7 dengan menampilkan penstriman langsung jualan udang tempatan segar dari laut sekitar Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow berkata, Covid-19 mengakibatkan gangguan berpanjangan terhadap ekonomi tempatan.

“Kami menyaksikan kesukaran yang dihadapi oleh perniagaan kecil dalam industri pertanian, dan sentiasa berusaha membantu dengan membawa perniagaan mereka ke dalam talian.

“Kami sentiasa komited untuk membawa dan mempromosikan perniagaan kecil pertanian tempatan seperti penternak udang ke dalam platform kami.

“Lazada menawarkan saluran yang cekap dan pantas untuk penternak menjual hasil tangkapan dan keluaran mereka terus kepada pengguna, dan pada masa sama pengguna boleh membeli pada harga kompetitif,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Mac lalu, Lazada membantu petani Cameron Highlands memulakan perjalanan e-dagang mereka dengan menjual sayur-sayuran segera daripada terbuang begitu saja akibat isu rantaian bekalan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, bagi jualan kali ini, udang-udang segar berkenaan akan dijual pada diskaun 30 peratus iaitu RM38.20 sekotak dengan pembelian minimum lima kotak.

Sebanyak 800 pelanggan pertama akan turut menikmati potongan 50 peratus dengan pembelian lapan kotak ketika jualan itu berlangsung.

Jualan Pertengahan Tahun 7.7 kali ini turut menampilkan peluasan janji Penghantaran Dijamin LazMall dari kawasan sekitar Lembah Klang ke seluruh Semenanjung Malaysia, selain daripada pelbagai tawaran hebat dan baucar penghantaran percuma Crazy Flash Sales.