SYARIKAT penjualan dan penghantaran gas memasak dalam talian, BeliGas.my optimis dapat membuka hingga 100 cawangan di tiga negeri di Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Suthan M berkata, dalam tempoh kurang tiga bulan sejak memulakan operasi perniagaan Jun lalu, tujuh cawangan dibuka di Selangor tidak termasuk satu lagi yang akan mula beroperasi minggu depan.

Jelasnya, sasarannya memastikan BeliGas.my tersedia di dua lagi negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka memandangkan pihaknya turut memiliki lesen sebagai pengedar gas memasak di lokasi berkenaan.

“Ketika ini, kami menjalankan operasi menjual dan menghantar gas memasak ke hampir 60 kawasan dari tujuh cawangan sedia ada di sekitar Selangor. Ia boleh ditempah secara dalam talian saja.

“Selain menyasar membuka 100 cawangan, kami juga menjangka tempahan gas memasak meningkat hingga 5,000 unit untuk setiap cawangan dalam tempoh sebulan menjelang akhir tahun ini, berbanding 1,000 unit sekarang.

“Perkhidmatan kami tidak terhad kepada pengguna di rumah saja malah meliputi kedai makan, restoran serta apa saja sektor yang menggunakan gas memasak,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, setakat ini, beliau hanya membekalkan gas jenama Solar namun menerima apa saja jenama tong gas yang ingin ditukar.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak kerjasama dengan jenama pembekal gas memasak yang lain ke arah merealisasikan hasrat BeliGas.my untuk menjadi penjual dan penghantar gas memasak utama di negara ini.

“Pada saya, kandungan gas semuanya sama, hanya cop (jenama) pada tong yang berbeza dan setakat ini, kami juga hanya membekalkan gas bersaiz 14 kilogram,” katanya.