NESTLÉ (Malaysia) Berhad memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM280 juta untuk tahun ini, pelaburan terbesar dalam tempoh enam tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, pelaburan itu akan menambah keupayaan pembuatan baharu, termasuk meluaskan kapasiti pengeluaran sedia ada bagi Mi MAGGI dan rangkaian pengeluaran teknologi tinggi terbaharu di Shah Alam.

“Melalui peruntukan ini, ia membolehkan kami menceburi kategori pertumbuhan tinggi baharu yang berpotensi besar pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu, produk di bawah jenama MAGGI mencatatkan sejarah tersendiri apabila mencapai jualan RM1 bilion.

“Pencapaian ini menjadi penanda aras untuk kami memantapkan pasukan jualan bagi semua jenama di bawah Nestlé.

“Malah, untuk tahun ini, 20 produk baru dilancarkan bagi memenuhi keperluan pengguna,” katanya pada sidang media maya mengenai prestasi Nestlé (Malaysia) tahun ini, semalam.

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang belum reda ini turut memberi kesan kepada operasi Nestlé, namun pihaknya mengintai peluang untuk mencari jalan lain bagi menjana pendapatan.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, kami melihat berlaku sedikit penurunan khususnya dari segmen Perniagaan di Luar Rumah kerana pengurangan kekerapan makan di luar. Namun, kami mencari peluang lain untuk menjana pendapatan.

“Dalam krisis ini, kami memperkenal perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk produk aiskrim selain mengambil kesempatan trend baharu seperti penghasilan minuman Neslo Dalgona,” katanya.

Nestlé mencatat perolehan bagi suku pertama 2020 berjumlah RM1.43 bilion yang dimanfaatkan daripada tempoh Tahun Baharu Cina yang lebih positif.

Keuntungan selepas cukai dicatatkan sebanyak RM186.3 juta bagi tempoh sama tahun ini.

Dalam pada itu, katanya pihaknya tidak berdepan masalah mengekalkan jumlah pekerja sedia ada dan beroperasi seperti biasa.

“Walaupun perlu berdepan normal baharu namun kami tetap meneruskan operasi untuk menghasilkan produk bagi keperluan pengguna,” katanya.