Kuala Lumpur: Pemohonan kemudahan i-Sinar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikemukakan sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran akan dibuat mulai hari ini susulan pemansuhan kriterianya bulan lalu.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, ia membabitkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan dan yang berstatus tidak lulus, sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dilaksanakan.

“KWSP menghargai kesabaran ahli ketika proses ini sedang berjalan. Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya,” katanya.

Menurutnya, permohonan baharu yang mencerminkan pemansuhan kriteria akan dibuka bermula 8 Mac 2021 kepada semua ahli berusia di bawah 55 tahun, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1 mereka, dan ini termasuk ahli KWSP bukan warganegara Malaysia.

Permohonan baharu ini akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh ini, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

Dana persaraan itu turut memaklumkan bermula 8 Mac 2021 ahli juga diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online.

“Jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” katanya.

KWSP menjelaskan, bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000 dengan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan.

Bagi ahli yang mempunyai lebih daripada RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 namun jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah RM60,000.

Pembayaran juga akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 – 8922 4848 untuk mendapatkan makluma lanjut.

Bagi pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03 – 8922 6000 atau melayari laman web www.kwsp.gov.my.