MAYBANK dan Credit Guarantee Corporation (CGC) melancarkan kemudahan pinjaman berjangka overdraf hibrid pertama di pasaran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bernilai RM1 bilion dengan kemudahan tanpa cagaran dengan 70 peratus jaminan CGC.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank untuk Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Datuk John Chong berkata, Maybank berbangga bekerjasama dengan CGC dalam memberikan penyelesaian unik ini untuk menyokong PKS terutama ketika tempoh kritikal ini di mana aktiviti perniagaan beransur-ansur pulih.

“Pengenalan SME Clean Loan/Financing Plus sangat tepat pada masanya memandangkan banyak PKS menghadapi masalah aliran kewangan selepas berbulan-bulan perniagaan mereka terganggu (akibat pandemik Covid-19).

“Keunikan penyelesaian ini terletak pada fleksibilitinya yang membolehkan PKS mendapatkan wang pendahuluan daripada Pinjaman Jangka Masa sementara kemudahan overdraf yang sedia ada membantu pengurusan aliran tunai mereka.

“Di samping itu, tidak seperti kemudahan overdraf bersih lain di pasaran di mana had biasanya akan berkurang sebulan selepas pengeluaran.

“Namun, bagi SME Clean Loan/Financing Plus, ia hanya mulai berkurang dua tahun selepas pengeluaran. Ia sekali gus memberikan aliran tunai yang cukup kepada PKS untuk memenuhi keperluan aliran tunai jangka pendek mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah daripada RM250,000 hingga RM1 juta untuk tempoh minimum bayaran balik tiga hingga tujuh tahun.

SME Clean Loan/Financing Plus dibuka untuk semua pelanggan Maybank dan juga pelanggan baharu.