KEPUTUSAN sama ada untuk mengambil moratorium atau sebaliknya bergantung kepada beberapa faktor peminjam itu sendiri.

Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Terengganu, Junainah Ahmad Esa berkata, moratorium akan membantu peminjam sekiranya mereka menghadapi masalah aliran tunai yang serius akibat terputus pendapatan dan tidak mempunyai dana kecemasan mencukupi.

Katanya, dalam situasi ini, moratorium dapat membantu mengurangkan komitmen bulanan dan seterusnya meringankan bebanan kewangan yang ditanggung peminjam.

“Keutamaan adalah menyediakan makanan dan keperluan asas lain untuk meneruskan kehidupan.

“Peminjam juga jangan lupa untuk memeriksa bantuan kewangan Covid-19 yang mungkin layak diterima bagi menghadapi waktu sukar ini.

“Selain itu, moratorium ini juga membantu peminjam yang menjangka menghadapi masalah aliran tunai pada masa akan datang akibat pemberhentian kerja, pemotongan gaji dan elaun.

“Antara kumpulan yang terjejas adalah mereka yang bekerja dalam industri seperti makanan dan minuman, pengangkutan, pelancongan, perhotelan atau penerbangan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Junainah berkata, penangguhan enam bulan itu membantu peminjam membina dana kecemasan bagi kegunaan pada masa akan datang.

Selain itu, beliau berkata, moratorium yang ditawarkan bank dilihat dapat membantu peminjam yang ingin membayar pinjaman mempunyai faedah lebih tinggi seperti hutang kad kredit.

Menurutnya, bagaimanapun bagi individu yang pendapatannya tidak terjejas dan masih menerima gaji seperti biasa, mereka sepatutnya membuat bayaran balik pinjaman seperti biasa dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing.